KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama akan melaksanakan Pengecualian Khas Duti Eksport Ke Atas Minyak Isirung Sawit Mentah (CPKO) dan Minyak Isirong Sawit Diproses (RBDPKO) bermula 1 Oktober 2019 sehingga 30 Jun 2020.
Pelaksanaan pengecualian khas duti eksport ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kadar eksport CPKO dan RBDPKO ke luar negara dan seterusnya akan membantu mengurangkan stok CPKO di pasaran tempatan terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Kementerian itu dalam kenyataannya berkata, pengecualian ini akan bertindak sebagai pemangkin dalam meningkatkan eksport CPKO dan RBDPKO melalui syarikat-syarikat baru dan pemain industri sedia ada ke luar negara dan secara tidak langsung akan membantu meningkatkan harga minyak sawit negara.
Di samping itu, pelaksanaan ini juga dilihat sebagai pendekatan untuk menggalakkan pihak industri sawit untuk mengeluarkan produk-produk hiliran yang bernilai tambah tinggi.
Menurutnya, dalam hubungan ini, Kementerian Industri Utama melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia akan memantau dan mengawal selia jumlah pengeksportan CPKO dan RBDPKO setiap bulan bagi memastikan bekalan
yang mencukupi untuk kegunaan industri tempatan.
Pengecualian khas ini boleh ditarik balik dan diberhentikan serta-merta.
Tambahnya, kementerian akan terus melaksanakan langkah-langkah yang bersesuaian bagi memperkukuhkan harga minyak sawit melalui pengecualian ini di pasaran tempatan. – MalaysiaGazette