Mior Faridalathrash Wahid.

KUALA LUMPUR – Polis memburu tiga suspek yang menyebarkan berita palsu di media sosial susulan kes wanita mati ditetak seorang lelaki amuk yang kemudian ditembak mati polis di Bayan Lepas pada Isnin lalu.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek itu dikenalpasti masing-masing berada di Kedah dan Pulau Pinang.

“Semalam, polis menerima satu laporan di Pulau Pinang mengenai status yang disebar melalui Facebook dan Whatsapp mendakwa bahawa suspek ditembak mati polis itu menyerang dua bekas rakan sekerjanya kerana mereka menghina Nabi Muhammad SAW.

“Sedangkan hasil siasatan dijalankan mendapati bahawa suspek sebenarnya menghadapi masalah mental kerana asyik dan terpengaruh dengan video keganasan di Timur Tengah, ” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Mior berkata, pihaknya mendapati banyak kenyataan menghasut dikeluarkan dan telah menjalankan siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kes itu merupakan kes terpencil dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan atau individu.

Hamid turut memberi peringatan, polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita mengenai kejadian tersebut yang dianggap boleh menyebabkan ketegangan kaum di negara ini. – MalaysiaGazette