Seorang peserta memegang poster semasa berarak ke Bangunan Perdana Putra pada himpunan JUSTICE4ADIB Solidariti Suara Ummah di perkarangan Masjid Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 21 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau khuatir dengan sikap prejudis dan tidak berkecuali Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai pendakwaan terhadap pembunuh Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ujarnya, sikap itu ditunjukkan oleh Tommy sejak awal inkues berlangsung termasuk ketika dan sepanjang perbicaraan.

“Peguam Negara telah prejudis sejak awal. Oleh itu bagaimana beliau boleh bersikap berkecuali lagi? Dari sebab itu, saya melihat Peguam Negara tidak lagi boleh terlibat dalam kes ini.

“Peguam Negara telah tidak menunjukkan sikap profesional beliau semasa mengedalikan kes inkues ini malah telah memalukan Institusi Jabatan Peguam Negara dan Jawatan Peguam Negara itu sendiri dan seterusnya komuniti perundangan seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan punca kematian anggota bomba itu akibat dipukul dan diserang oleh pihak ketiga.

Keputusan itu diumumkan Koroner Rofiah Mohamad selepas 41 hari prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib berlangsung.

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

Ismail yang juga Ketua Pembangkang justeru itu meminta agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan agar Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah memecat Tommy dan ditamatkan perkhidmatan.

“Wajar Peguam Negara segera meletak jawatan setelah mengetahui keputusan inkues pada hari ini dan ianya bertentangan dengan kenyataan yang pernah beliau keluarkan ketika proses perbicaraan inkues berlangsung dan kegagalan beliau melakukan tugas sebagai seorang Peguam Negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette