Pengerusi persatuan itu, Li Tian Lin memberitahu, dua pelajar itu telah dimarah dan dimalukan secara terbuka bahawa mereka akan membakar dan menginjak bendera negara pada masa depan kerana tidak tahu menyanyi Negaraku. - foto hiasan

PULAU PINANG – Persatuan Pengurus Dan Guru Sekolah Cina Pulau Pinang mendedahkan seorang penolong kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) telah memalukan dua pelajar masing-masing berketurunan Cina dan India, secara terbuka kerana tidak tahu menyanyi lagu kebangsaan.

Oriental Daily melaporkan, pengerusi persatuan itu, Li Tian Lin memberitahu, dua pelajar itu telah dimarah dan dimalukan secara terbuka bahawa mereka akan membakar dan menginjak bendera negara pada masa depan kerana tidak tahu menyanyi Negaraku.

Penolong kanan itu juga dikatakan mengeluarkan kenyataan ekstrem bahawa sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) tidak mengajarkan lagu kebangsaan.

Kata Tian Lin, kenyataan seperti itu mempunyai unsur menghasut dan hanya akan memburukkan hubungan pelajar pelbagai kaum.

“Mungkin memang ada pelajar yang tak tahu nyanyi lagu kebangsaan, tetapi ada juga pelajar yang tak tahu hafal 26 huruf dalam bahasa Inggeris.

“Apa jua keadaannya, pelajar lepasan sekolah Cina tidak harus dimalukan,” katanya seperti dipetik Oriental Daily.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan harus mengambil perhatian sama ada terdapat guru yang menyebarkan emosi perkauman dalam sekolah.

Katanya lagi, tidak berlaku diskriminasi kaum di SRJKC kerana 18 peratus muridnya merupakan etnik bukan Cina.

Ujarnya, orang Malaysia boleh hidup secara harmoni jika orang politik dan cikgu tidak mengeluarkan kenyataan yang memecah-belahkan kaum. – MalaysiaGazette