Penerima Anugerah Khas Pingat Emas, Nor Amiza Abul Karim (tengah) bersama penerima-penerima Anugerah Khas, Mohammad Faiz Amri Mahamat Tajudin (kiri), Norhidayah Sharida Abdul Aziz (dua kiri), Siti Nur Hajar Aisyah Mat Hisna (dua kanan) dan Mohammad Faiz Amri Mahamat Tajudin (kanan) pada Majlis Konvokesyen Pertanian kali ke-9 2019 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan D, MAEPS Serdang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 30 SEPTEMBER 2019.

SERDANG – Siapa sangka bidang pertanian mampu mengangkat seorang anak gadis anak kepada peneroka Felda China Timur, Nor Amiza Abul Karim sebagai penerima dua anugerah Konvokesyen Pertanian ke 9 di sini hari ini.

Menurut pelajar lulusan Sijil Perikanan daripada Akademi Perikanan Malaysia Chendering, Terengganu itu, beliau terpanggil untuk menceburi bidang perikanan kerana tercabar dengan monopoli kaum lelaki.

“Cabaran yang saya hadapi sangat sukar kerana bidang perikanan ini banyak diceburi kaum lelaki dan saya beranikan diri untuk ceburi bidang ini.

“Rasa terpanggil untuk menceburi bidang perikanan ini amat kuat memandangkan latar belakang keluarga saya adalah daripada golongan petani,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini.

Penerima Anugerah Khas Pingat Emas, Nor Amiza Abul Karim menunjukkan pingat dan sijil pada Majlis Konvokesyen Pertanian kali ke-9 2019 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan D, MAEPS Serdang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 30 SEPTEMBER 2019.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin dalam majlis Konvokesyen Pertanian ke 9 hari ini.

Dalam pada itu, Nor Amiza turut diangkat sebagai Penerima Anugerah Khas Ketua Pengarah Perikanan.

Nor Amiza yang sedang menunggu panggilan kerja daripada Syarikat Makmur Akuakultur Sendirian Berhad meminati bidang perikanan dan ingin mencurahkan segala ilmu dan pengalaman yang ada dalam bidang perikanan.

“Saya ingin memasuki bidang perikanan untuk mempraktikkan lagi apa yang saya belajar,” katanya lagi.

Penerima Anugerah Khas, Siti Nur Hajar Aisyah Mat Hisna bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Konvokesyen Pertanian kali ke-9 2019 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan D, MAEPS Serdang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 30 SEPTEMBER 2019.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Khas Ketua Pengarah Pertanian, Siti Nur Hajar Aisyah Mat Hisna pula meminati bidang pemprosesan hasil pertanian yang ditawarkan Institut Pertanian Serdang.

Menurut anak kelahiran Taiping, Perak yang memegang Sijil Teknologi Memproses Hasil Pertanian itu mahu meneruskan pengajian di peringkat diploma bagi memastikan minat kepada bidang pertanian terus berkembang dalam sanubarinya.

“Sebenarnya, saya suka belajar, sebab latar belakang saya adakan dari keluarga pertanian. Jadi timbul minat untuk belajar urusan pertanian.

“Saya nak sambung belajar di bidang pertanian di peringkat diploma,” katanya lagi.

Nor Amiza dan Siti Nur Hajar Aisyah antara 1,085 graduan yang membina sijil dan diploma masing-masing hari ini.

Jumlah itu adalah daripada 14 institusi latihan pertanian seluruh Malaysia yang dikelolakan dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. -MalaysiaGazette