Peta kawasan Pilihan Raya Kecil pada sidang media PKR Parlimen P.165 Tanjung Piai Johor di Menara SPR, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 01 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA –  Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan menggunakan daftar pemilih setakat suku tahun kedua 2019 yang dikemaskini sehingga 23 September lalu.

Pemilih tersebut mengandungi 52,986 orang pengundi yang terdiri daripada 52,698 orang pengundi biasa, 280 orang pengundi awal dan lapan orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Daftar Pemilih tersebut akan mula dijual pada 16 Oktober 2019.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, para pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka mulai 16 Oktober ini melalui atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Katanya, SPR akan turut menghantar Kad Pengundi kepada semua pengundi di Tanjung Piai.

Tambah beliau lagi, SPR menganggarkan PRK kali ini memerlukan peruntukan sebanyak RM2.67 juta.

Menurutnya, SPR mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRK Parlimen Tanjung Piai yang dijadual diadakan pada 16 November ini.

Sehubungan itu, SPR memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi.

SPR juga akan menyediakan dua saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas di setiap Pusat Mengundi dan memanjangkan tempoh masa pengundian dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding jam 5 petang pada
PRU-14.

Sebanyak 26 saluran baharu ditambah bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan
keseluruhannya adalah 127 saluran berbanding 101 saluran pada PRU-14.

Pengundi-pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) akan mengundi di Saluran 1 dan pada PRK ini seramai 981 orang pengundi OKU telah dikenal pasti dan mereka adalah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast