Datuk Zakaria Stapa

KUALA LUMPUR – Majlis Usuluddin Malaysia (MUM) menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berhubung penawaran dua kursus baharu di universiti awam (UA).

Pengerusi MUM, Prof. Emeritus Datuk Zakaria Stapa berkata, kedua-dua kursus berkenaan iaitu Kursus Falsafah dan Isu Semasa serta Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban sangat menepati hasrat kerajaan untuk membina pemikiran kritis dalam kalangan  mahasiswa.

Malah, beliau berkata, pengumuman yang dibuat oleh Maszlee itu selari dengan tujuan dan hasrat MUM sendiri untuk
memartabatkan pemikiran rakyat Malaysia khususnya umat Islam dalam konteks kefahaman dan penghayatan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Menginsafi bahawa segenap rakyat Malaysia kini berada dalam dunia langit terbuka dan teknologi komunikasi 24 jam tanpa henti, sudah tentu cabaran-cabaran pemikiran yang sedang melanda masyarakat di negara kita tanpa mengira agama dan kepercayaan menjadi semakin pesat dan hebat.

“Rakyat Malaysia perlu disediakan dengan kaedah berfikir yang mantap bagi menampan kebanjiran pemikiran yang semakin rencam ini agar jati-diri keagamaan mereka terus kekal terpelihara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada masa sama, Zakaria berkata, rakyat Malaysia perlu dipupuk dengan semangat dan sikap untuk berubah kepada kehidupan yang lebih baik dengan penghayatan etika yang mulia dan peradaban yang tinggi dalam menghadapi abad ke 21.

Justeru kata beliau lagi, penawaran dua kursus baharu Falsafah dan Isu Semasa serta Penghayatan Etika dan Peradaban pada pendapat MUM sangat bertepatan dengan keperluan mendesak peringkat nasional bagi menyediakan generasi rakyat Malaysia yang berupaya menghadapi cabaran dunia baru yang serba mencabar ini.

Meskipun MUM bersetuju serta menyokong penawaran dua kursus baharu ini, pihaknya mencadangkan agar kementerian selaku pemantau perlaksanaan dua kursus baharu itu mengambil kira kesinambungan dengan dua kursus sebelum ini iaitu Kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara (TITAS) dan juga Kursus Hubungan Etnik (HE).

“Sewajarnyalah dua kursus baharu ini menjadi penambahbaik, pengukuhan dan penerusan dari Kursus-Kursus TITAS dan HE tersebut dari segi kandungan dan penyampaiannya demi memastikan semangat ratusan para pensyarah dalam Kursus-Kursus TITAS dan HE ini terus bersemarak bagi menjayakan dua kursus baharu ini.

“Akhirnya MUM ingin menegaskan bahawa perlaksanaan dan pengisian kandungan Kursus Falsafah dan Isu Semasa serta Penghayatan Etika dan Peradaban ini mestilah tidak berjauhan dari roh dan semangat pemikiran dari tradisi keilmuan Islam sebagai terasnya khususnya pemikiran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pemikiran induk MUM,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast