KUALA LUMPUR – Sindiket perjudian online yang didalangi 249 orang warga China yang aktif selama tiga bulan di ibu kota berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM24.75 juta sebulan.
Bagaimanapun kegiatan mereka tumpas apabila polis menahan sekumpulan individu terlibat termasuk seorang lelaki dan wanita warga tempatan yang disyaki penjaga premis judi dengan jumlah barang rampasan bernilai RM3.126 juta baru-baru ini.
Sindiket beroperasi secara bersembunyi di dalam kondominium mewah dengan kadar sewa antara RM8,000 hingga RM23,000 sebulan berjaya dicekup dalam tujuh operasi berasingan antara 22 September hingga 2 Oktober lalu.
Ia termasuk tiga serbuan di daerah Brickfields, dua serbuan di Cheras dan dua lagi serbuan di daerah Dang Wangi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis bangunan pejabat di Jalan Kerinchi berjaya menahan 42 lelaki dan seorang perempuan warga China dengan 44 komputer riba, 311 telefon bimbit, empat modem, lima kad akses dan wang tunai RM15,903 dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM614,403.
Manakala dalam serbuan kedua di sebuah kondominium di Jalan Cheras pada 27 September lalu pukul 7 malam polis berjaya menahan lima lelaki dan seorang perempuan warga China bersama dua warga negara tempatan selain dirampas tujuh set komputer riba, satu set komputer, 143 telefon bimbit dan tiga unit tablet yang kesemuanya anggaran bernilai RM241,500.
“Kita juga dalam serbuan ketiga merempuh tiga unit premis di sebuah bangunan pejabat di Jalan Desa Bahagian, Brickfields pada 30 September lalu pada jam 4.50 petang dan menahan 89 lelaki dan empat perempuan warga China disyaki terlibat dengan judi online serta dirampas 133 set komputer, 17 set komputer riba, 855 buah telefon bimbit dan wang tunai RM14,749 dengan nilai rampasan berjumlah RM1.732 juta.
“Kemudian kita telah melakukan serbuan keempat di satu lagi bangunan pejabat di Bangsar South, Kerinchi pada 30 September lalu jam 3 petang sebelum membawa kepada penahanan 31 lelaki dan empat perempuan warga China dengan rampasan 35 komputer, 54 telefon bimbit, dua modem dan 1 router kesemuanya berjumlah RM190,000,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah Mazlan, operasi diteruskan menerusi serbuan kelima pada 1 Oktober lalu jam 9.30 malam di sebuah unit kondominium di Jalan Cheras sebelum berjaya mencekup lima lagi lelaki warga China terlibat perjudian dengan sembilan set komputer riba, lima telefon bimbit yang bernilai RM34,500 dirampas.
Justeru katanya pasukan polis terus bertindak dengan serbuan keenam dan ketujuh di tiga premis dalam Kondominium Jalan Ceylon dan dua premis di Kondominium Mewah di Jalan Mayang Sari Hampshire Park antara pukul 4.45 petang dan 9 malam.
“Hasil serbuan di kedua-dua tempat itu membawa kepada tangkapan 65 warga China termasuk lima perempuan dengan 17 komputer, 68 telefon bimbit dan 52 komputer riba dengan anggaran nilai berjumlah RM313,500 dengan wang tunai RM30,000 dirampas,” ujarnya.
Kesemua suspek warga China didapati memasuki negara ini dengan pas lawatan sosial dan sedang disiasat status dan tempoh kemasukan mereka dan kesemua berusia antara 20 hingga tahun itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/69 dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta-Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka mengaut keuntungan RM850,000 sehari dan RM24.75 juta sebulan menerusi wang taruhan perjudian online melibatkan ketujuh-tujuh pusat operasi secara tersembunyi itu,” ujar Mazlan.
Kesemua serbuan dilakukan oleh pasukan Polis D7 dan D9 dari Brickfields, Cheras dan Dang Wangi dan hasil siasatan awal katanya aktiviti haram itu didalangi orang berbeza dan dijalankan secara tertutup serta pintu masuk sukar diakses kerana kukuh dan susah dibuka secara manual.
Tegas Mazlan, kesemua mereka direman 14 hari dari tarikh tangkapan dibuat untuk siasatan lanjut dan siasatan lanjut polis juga mendapati menggajikan pemuda IT dengan gaji RM3,000 sebulan.
Menurut Mazlan, modus operandi sindiket itu menggunakan laman web judi dan menggunakan WeChat ‘memancing’ pelanggan sebelum menerusi pusat panggilan meminta memasukkan wang taruhan sebelum diberi laman web judi dan kata kunci untuk memulakan pertaruhan.
“Jika menang besar wang akan dimasukkan dalam akaun simpanan pelanggan berdasarkan nombor akaun yang didaftarkan untuk penebusan wang menang,” tegas Mazlan.
Selain itu, beliau juga mengingatkan, pengurus kondominium serta pemilik rumah yang menyewakan unit mereka juga telah dipanggil dan diingatkan supaya tidak menyewakan kepada individu mencurigakan selain mengelak parti liar, pelacuran dan judi haram di premis masing masing.
“Saya beri amaran kepada pemilik unit yang menyewakan premis mereka tanpa soal siasat boleh diambil tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Kanun Keseksaan dan sekiranya anda menyedari kelakuan atau aktiviti mencurigakan oleh penyewa sila maklumkan segera kepada polis jika mereka didaoati lindung judi indakn di bawah Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette