KUALA LUMPUR – Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) adalah kerangka halatuju negara sebagai kelangsungan kepada wawasan 2020.
Ia mengambil kira keadaan semasa dan jangkaan keadaan 10 tahun akan datang dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap amanah yang telah diberikan oleh rakyat untuk membantu dan membela masa depan mereka.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata, WKB 2030 akan dilaksanakan sepenuhnya tanpa perlu melakukan terlalu banyak penjajaran semula.
Katanya, wawasan bertema ‘Penyusunan Semula Keutamaan Pembangunan Malaysia’ akan dimulakan seiring dengan Belanjawan Kemakmuran Bersama 2020 dan akan menjadi titik permulaan untuk dilaksanakan sepenuhnya dengan strategi dan tindakan yang akan dijajarkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang akan diumumkan pada tahun hadapan.
“Wawasan ini membawa maksud pertumbuhan yang lebih saksama untuk negara, memberi nilai yang tinggi kepada ekonomi negara selain menjadikan Malaysia kompetitif dan berintegriti dan bermaruah, sekaligus mengembalikan kepercayaan kepada pasaran dan pelabur dan mampu meletakkan Malaysia sebagai Harimau Asia yang baharu dan pertumbuhan serta pengagihan ekonomi dapat dilakukan
dengan lebih baik.
“Ia adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara ‘yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusifdi setiap peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah serta rantaian
bekalan’ sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang tahun 2030.
“Terdapat tiga objektif yang ingin dicapai melalui Wawasan Kemakmuran Bersama iaitu: pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan dan negara yang
bersatu, makmur dan bermaruah.
“Kumpulan masyarakat yang lemah dan kurang berkemampuan akan diberikan bantuan dan keistimewaan tertentu supaya mereka dapat bersaing secara adil dengan kumpulan masyarakat yang lebih bernasib baik, demi mencapai keberhasilan yang saksama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran WKB 2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur.
Hadir pada majlis Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia.
Tambah Dr. Mahathir, WKB 2030 turut mengambil kira pelbagai kerangka pemikiran, pandangan dan falsafah yang terangkum dalam konteks sosiobudaya masyarakat Malaysia yang unik dengan menggariskan 15 Prinsip Panduan yang antaranya merangkumi aspek sosial, ekonomi, integriti dan tadbir urus bagi menjadikan Malaysia sebagai paksi ekonomi Asia.
Menurutnya, teras Strategik Pengukuhan Pasaran Buruh dan Peningkatan Pampasan Pekerja berhasrat menilai semula dan memperkukuh polisi pekerjaan, kesatuan sekerja, gaji dan menangani diskriminasi gender, umur, etnik dan agama di tempat kerja bagi meningkat produktiviti dan mengurangkan penggunaan pekerja asing.
Malah katanya, usaha untuk memastikan kebajikan masyarakat di Malaysia akan dilindungi termasuk dalam aspek capaian dan kebolehupayaan mendapat penjagaan kesihatan dan pendidikan berkualiti yang merentasi semua lapisan masyarakat.
“Polisi kebajikan harus bertukar dari amalan dan penumpuan kepada pemberian tunai kepada program pembangunan dan latihan untuk mengeluarkan kelompok ini dari kemiskinan,” ujarnya.
“Perkara yang juga pokok yang merencatkan pengembangan dan pengagihan ekonomi Negara adalah aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kanser ini telah membarah dan pemulihannya harus dilakukan segera. Sebagai doktor, saya hanya melihat bagi mengubati kanser ini, ia harus dipotong dan dibuang,” katanya.
Beliau pada masa sama mengakui agenda Pemerkasaan Bumiputera menerima impak besar dari masalah ini apabila peluang dan sokongan yang sepatutnya diberikan kepada mereka disalahgunakan dan tiris kepada kumpulan yang tidak sepatutnya dan penyalahgunaan dan rasuah harus dipotong tanpa menyalahkan agenda Bumiputera.
Justeru katanya, kerajaan juga mengharapkan Malaysia dapat berubah dari penyampaian kerja yang hanya berasaskan output dan pencapaian kepada Negara yang berasaskan impak dan
keberhasilan.
“Key Performance Index harus berubah kepada Key Results Indikator (KRI) atau indikator keberhasilan utama yang boleh dinilai sebagai contoh dari sudut peningkatan pendapatan,
penciptaan pekerjaan atau nilai tambah perniagaan dan sebagainya,” ujarnya.
Sementara itu, Dr. Mahathir membidas pihak yang menyebarkan berita palsu bahawa WKB 2030 telah mengetepikan hak dan masa depan Bumiputera dengan menyamaratakan semua peluang dan meliberalisasikan semua sektor.
“Kita sangat memahami masyarakat Bumiputera masih ketinggalan dalam banyak perkara. Kemakmuran Bersama bermaksud masyarakat Bumiputera tidak ditinggalkan dan perlu dibangunkan supaya lebih kompetitif serta boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan etnik yang lain.
“Dalam waktu yang sama seperti yang saya selalu tekankan, Bumiputera tidak harus hanya menunggu bantuan dan sokongan Kerajaan sebaliknya apabila kita faham kita ketinggalan, kita harus sedar untuk lari dengan lebih laju untuk mengejar mereka yang dihadapan,” kata beliau. – MalaysiaGazette