Orang ramai mendengar ucapan dari Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2019

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya Kongres Maruah Melayu bersifat rasis.

Perdana Menteri menegaskan, kongres tersebut tidak ada mengena dengan politik kerana ia dihadiri semua pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), universiti dan parti-parti politik.

Pemimpin-pemimpin politik yang hadir daripada pelbagai parti juga tidak menyentuh tentang parti masing-masing.

Malah, kongres itu tidak mengecam kaum Cina atau India.

“Kita tak kecam orang Cina dan India, tetapi kecam orang Melayu, kenapa jadi begini.

“Mereka hadir sebagai Melayu dan nak tahu apa sudah jadi dengan maruah Melayu dan bagaimana hendak pulihkan maruah Melayu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Kongres Maruah Melayu.

Dr Mahathir memuji ahli-ahli politik yang hadir pada kongres itu kerana sanggup mengetepikan fahaman atas rasa tanggungjawab terhadap pemulihan maruah orang Melayu.

“Kita bercakap tentang orang Melayu, apakah kedudukan mereka dari segi sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Di mana orang Melayu buat kesilapan yang menyebabkan mereka ketinggalan berbanding orang lain di negara sendiri,” katanya sambil menyifatkan resolusi yang dicapai hari ini menggambarkan perasaan Melayu.

Jelasnya, orang Melayu hari ini bimbang akan masa depan mereka dan khuatir tidak dipandang tinggi seperti orang lain.

Dr Mahathir berkata, orang Melayu akan mencari jalan penyelesaiannya dan akan memainkan peranan untuk memelihara maruah bangsa itu.

Mengulas mengenai kelemahan orang Melayu, beliau berkata, bertengkar antara satu sama lain hingga berpecah kepada enam parti politik dan berebut untuk menjadi Perdana Menteri merupakan punca bangsa Melayu semakin lemah.

Secara berseloroh, Dr Mahathir berkata, sekiranya jawatan Perdana Menteri itu boleh diisi setiap satu parti politik , sudah tentu tidak terjadi perebutan.

“Orang Melayu saling berkelahi sebab itu kita lemah sekarang. Kita berkelahi sesama kita, kita berpecah sampai enam (parti) politik, masing-masing ingin menjadi Perdana Menteri.

“Kita ada satu jawatan sahaja Perdana Menteri. Kalau ada enam jawatan bolehlah setiap satu kita beri,” katanya padaa sidang media sambil disambut dengan gelak besar.

“Mereka nampaknya mengenepikan fahaman politik mereka keran mereka juga rasa bertanggungjawab dengan kemajuan Melayu,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast