LONDON – HSBC Holdings Plc (HSBC) merancang untuk mengurangkan sehingga 10,000 orang pekerja selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noel Quinn mengumum mahu mengurangkan kos dalam kumpulan perbankan itu, menurut Financial Times.
Pelan itu akan memberi tumpuan kepada kakitangan yang bergaji tinggi.
HSBC dijangka mengumumkan cadangan tersebut semasa membentangkan prestasi suku ketiga kewangannya pada akhir bulan ini, kata FT.
Quinn menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Interim pada bulan Ogos selepas HSBC mengumumkan pemecatan mengejut John Flint.
Serentak itu beliau memaklumkan mahu melakukan perubahan untuk menangani “persekitaran global yang mencabar.”
Flint dipecat kerana perbezaan pendapat dengan pengerusi Mark Tucker mengenai pendekatan untuk memotong perbelanjaan.
Sebelum ini, HSBC memaklumkan akan melepaskan 4,000 orang pekerja tahun ini disebabkan prospek perniagaan yang suram dengan peningkatan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, penurunan pusingan polisi monetari dan protes di pasaran utamanya di Hong Kong dan Brexit. – MalaysiaGazette