Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Setiausaha Akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah menggesa semua pihak agar tidak melaga-lagakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Merujuk kepada perkembangan terkini semasa sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana kelmarin,  Tunku Nashrul berkata, Anwar tidak menyebut perkataan ‘barua’ namun menjelaskan bosnya menyebut perkataan ‘maruah’ ketika menyebut mengenai Kongres Maruah Melayu yang diadakan Ahad lalu.

“Jangan jadi bodoh dan sila korek telinga. Sah-sah yang Datuk Seri Anwar sebut adalah maruah bukan barua.

“Henti buat fitnah murahan. Tolong henti melagakan semua orang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Hari ini tular video berdurasi 22 saat itu memaparkan situasi selepas sidang media Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Dalam video berkenaan, Anwar berkata kepada  Mahathir secara bergurau yang perdana menteri itu semakin bertenaga sebaik memberikan ucapan di Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Tertutup Melawati, Shah Alam pada malam Ahad lalu.

Anwar berkata “Sejak balik daripada Kongres Maruah ini (Tun Dr Mahathir) lain macam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikan sambil diperhatikan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Sebelum ini, Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membuat kenyataan mempersoalkan tindakan Anwar yang didakwanya menyebut ‘Kongres Barua’ yang merujuk kepada Kongres Maruah Melayu.

Khairuddin berkata ‘Saya yakin perkataan ‘Kongres Barua’ yang dilontarkan oleh Anwar itu merujuk kepada Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan baru-baru ini.

“Mungkin Anwar kecewa kerana tidak dijemput pada peringkat awal cuma mendapat jemputan di saat-saat akhir,” katanya dalam satu kenyataan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast