Saya menghabiskan masa selama 29 tahun di sini dan inilah satu-satunya pekerjaan saya dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk CIMB. - Nazir Razak
Nazir Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Nazir Razak menyatakan kesediaannya untuk membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik mungkin dalam usaha agensi itu mendapatkan semula dana-dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataannya hari ini, bekas Ketua Eksekutif CIMB itu memaklumkan beliau akan menghubungi SPRM.

Nazir merupakan antara 80 individu yang menerima kompaun SPRM dalam usaha agensi itu mendapatkan semula wang berjumlah RM420 juta.

Nazir berkata, beliau pernah mengesahkan sebelum ini bahawa Datuk Seri Najib Razak telah memindahkan dana berjumlah RM25.7 juta ke dalam akaun miliknya pada tahun 2013.

Menurut adik bongsu Najib itu, dana tersebut kemudiannya dikeluarkan secara tunai dan sepenuhnya kepada wakil Najib kerana difahamkan ia adalah untuk kempen pilihan raya.

“Tidak ada satu sen yang disimpan atau digunakan oleh saya.

“Saya bertindak dengan niat yang baik untuk melaksanakan permintaan abang saya bagi mendapatkan bantuan dalam kempen PRU13 dan pada masa itu, saya dimaklumkan bahawa dana itu berasal daripada penjanaan dana politik yang sah dan tidak mempunyai sebab untuk berfikir sebaliknya,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambahnya, apabila wujud dakwaan berkaitan 1MDB dan pemindahan dana oleh Najib didedahkan di media pada April 2016, beliau telah mengambil cuti sukarela dari jawatannya di CIMB supaya Lembaga Pengarah CIMB Group dan CIMB Bank dapat menjalankan siasatan.

“Siasatan itu dilakukan dengan bantuan firma perakaunan dan undang-undang dan terbukti saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan dipanggil balik ke dalam lembaga pengarah,” ujar Nazir lagi.

Malah, kata Nazir, beliau juga antara yang lantang dan kerap mengkritik 1MDB dan apabila dikatakan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaunnya mungkin dari akaun 1MDB telah memberi tekanan yang kuat kepadanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

1MDB: Nazir Razak, Ahmad Maslan antara 80 terima notis kompaun RM420 juta