Latheefa Koya

PUTRAJAYA – Seramai 80 individu dan entiti akan menerima notis kompaun daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna akaun kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, jumlah notis kompaun itu bernilai RM420 juta yang perlu dijelaskan oleh penerima kompaun dalam tempoh dua minggu dari notis dikeluarkan.

Jelasnya, tindakan notis kompaun segera itu disiasat mengikut Seksyen 92 (1) di mana sekiranya gagal membayar kompaun itu, pihak terbabit akan dihadap ke mahkamah.

“Semua wang yang terlibat ini adalah milik rakyat dan SPRM akan menuntut semula sebanyak yang mungkin.

“Wang yang terlibat keluar ini melibatkan transaksi melalui bayaran cek.

“Notis kompaun kini sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara dan dalam proses kelulusan Peguam Negara, “ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Mengikut senarai, antara yang menerima notis kompaun adalah adik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas menteri Kabinet, Tan Sri Shahrir Samad.

Entiti yang melibatkan syarikat, parti politik, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan pula adalah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Bahagian-Bahagian UMNO, Barisan Nasional, MIC, MCA, Gerakan, Parti Progresif Rakyat dan Parti Rakyat Sarawak.

Mengulas lanjut, Latheefa menambah, individu yang menerima notis kompaun tertinggi bernilai RM25.7 juta dan entiti adalah RM134 juta.

Beliau memberitahu tindakan notis saman itu berbeza dengan memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) untuk lucut hak bagi tujuan sama mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Jun lalu melibatkan 41 individu dan entiti. – Malaysiagazett