KUALA LUMPUR – Kongres Maruah Melayu disifatkan sebagai wayang politik terhebat Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berjaya memainkan sentimen seakan umat Melayu seantero dunia perlu mendengar ‘wasiat terakhir’ tokoh Melayu neo-liberal.
Dengan mengumpulkan semua pemimpin dari segenap institusi politik negara, maka Perdana Menteri memberi anggapan bahawa semua orang Melayu telah menyokong beliau walaupun tidak sama sekali.
Lantaran itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan pada Ahad lalu didakwa tidak mendapat perhatian dan menjadi perbualan ramai orang Melayu.
Ini kerana, ia dilihat sebagai sebuah perhimpunan elit Melayu yang tamakkan kuasa dan tidak putus-putus merendah-rendahkan bangsa sendiri demi kelangsungan politik dan kuasa peribadi masing-masing.
Sedangkan, katanya, kongres tersebut tidak inklusif dan bukan untuk semua orang Melayu kerana ia tidak lahir dari keterdesakan orang Melayu bagi membangun serta memulihkan bangsanya.
Ia juga bukanlah gerakan massa dan kebanyakan orang Melayu untuk survival bangsanya tetapi kongres itu merupakan perhimpunan politik untuk menunjukkan kekuasaan dan keegoan Dr Mahathir, kata Khaled.
Beliau juga mempertahankan bahawa kongres ini secara langsung telah memperkudakan universiti-universiti awam untuk tujuan politik sebuah parti dan cita-cita pemimpinnya.
Buktinya, segala resolusi yang dikatakan hasilkan cendekiawan Melayu, langsung tidak disentuh dan diulas oleh Dr Mahathir dalam ucapannya.
“Tun Mahathir gagal menggunakan kesempatan di kongres itu untuk menjelaskan tawaran kerajaan pimpinannya untuk memelihara dan membangun keberdayaan bangsa Melayu.
“Kalau sekadar untuk menegur sikap bangsa Melayu, ia boleh dilakukan dalam Perhimpunan Agung Bersatu sahaja. Nyatakan transformasi bagaimana yang akan Kerajaan PH lakukan untuk bangsa Melayu tanpa rasa apologetik.
“Kesimpulannya, maruah Melayu hanya layak dikongreskan di luar kerajaan dan bukannya diangkat menjadi agenda tuntas Pakatan Harapan dek kerana pengaruh DAP yang sangat luar biasa dan tidak akan memungkinkan ia berlaku.,” ujar beliau.
Tambahnya, kongres ini tidak akan boleh menyaingi Muafakat Nasional UMNO-Pas kerana ia bukanlah satu wadah pemberdayaan bangsa melalui kesatuan politik. – MalaysiaGazette