Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tidak ada sebarang cadangan memulaukan khidmat syarikat pengantar makanan Foodpanda dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan dengan itu, katanya, sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan dengan cadangan ‘memulaukan’ Foodpanda itu merupakan pendapat peribadi Menteri Belia dan Sukan itu.

“Itu pendapat dia, dia tidak bincang dalam Kabinet langsung. Itu bukan pendirian kerajaan, mungkin dia ada sebab kenapa dia buat kenyataan itu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir ditanya mengenai kenyataan Syed Saddiq semalam yang mengingatkan Foodpanda supaya tidak angkuh kerana pekerja dan pengguna yang menentukan jatuh bangun sesebuah syarikat.

“Keangkuhan bukan jalan penyelesaian. Hanya sokong korporat yang adil kepada pekerja dan pengguna,” kata Ahli Parlimen Muar dalam ciapan di laman Twitter malam tadi.

Foodpanda disaran kembalikan semula skim pembayaran asal – Syed Saddiq

Syed Saddiq merujuk kepada kenyataan Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia dalam sidang media semalam yang antara lain berkata, pihaknya tiada masalah dengan mogok yang dilancarkan penghantar syarikat itu berhubung skim pembayaran baru yang diperkenalkan.

“Jika awak (penghantar) tidak mahu kerja, tolong berikan atau tukar awak punya syif pada penghantar lain sebab awak menjejaskan kehidupan mereka,” kata Sayantan Das.

Bermula 1 hingga 3 Oktober lalu, penghantar makanan Foodpanda berpakat mengadakan mogok besar-besaran sebagai bantahan mengenai skim baru yang berkuat kuasa sejak 30 September 2019 di sekitar luar Lembah Klang.

Berdasarkan skim baru itu, bagi penghantar makanan di luar Lembah Klang, bayaran mengikut jam dimansuhkan tetapi pada masa sama bayaran setiap pesanan dinaikkan kepada antara RM4.50 hingga RM7. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Syed Saddiq ingatkan Foodpanda keangkuhan bukan penyelesaian