Pekerja Utusan memegang placard 'Mana Gaji Kami' semasa mengadakan demotrasi berhubung masalah gaji di hadapan Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) akhirnya menutup operasinya selepas berdepan dengan pelbagai masalah kewangan.

Mulai hari ini, syarikat media itu berusia 80 tahun itu akan menghentikan operasinya dan tarikh akhir perkhidmatan kakitangannya bermula esok.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir, langkah itu dibuat selepas pelbagai usaha ‘menyelamatkan’ syarikat tidak menjadi.

Ia termasuk menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada 700 kakitangan, penjualan aset, edaran akhbar menjunam turun dan kegagalan sumbangan iklan tidak menepati sasaran.

“Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak.

“Syarikat ini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang,” katanya dalam memorandum pekeliling syarikat berkenaan semalam.

Sehubungan itu, menurut Abd Aziz, Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator).

Menurutnya, langkah itu terpaksa diambil oleh kerana lembaga pengarah berpendapat syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.

Faedah penamatan kerja adalah tertakluk kepada peruntukan
undang-undang dan ini akan dikendalikan oleh pihak pelikuidasi.

Sebelum itu, dalam satu kenyataan sebelum itu, UMMB akan melepaskan 70 peratus pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn.Bhd. kepada Aurora Mulia Sdn. Bhd.

Dilof merupakan anak syarikat 100 peratus miliknya yang kini merupakan pemegang permit menerbitkan dua akhbar berbahasa Melayu berpengaruh iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Pelepasan pegangan dalam Dilof itu untuk memastikan kesinambungan penerbitan kedua-dua akhbar arus perdana itu, kata UMMB dalam satu kenyataan hari ini.

Ia untuk memastikan akhbar Utusan Malaysia yang telah berusia 80 tahun tidak dikuburkan dan akhbar Kosmo! yang berusia 15 tahun dapat diteruskan.-MalaysiaGazette