TEHRAN – Wanita Iran antara penyokong yang membanjiri stadium untuk menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia antara Tehran dan Kemboja selepas mereka dibenarkan memasuki stadium selepas dilarang sejak tahun 1979.
Sejak revolusi Islam, golongan wanita telah dilarang sama sekali memasuki stadium apabila pasukan lelaki sedang bermain.
Perubahan peraturan itu menyusul selepas kematian seorang wanita, Sahar Khodayari yang membakar dirinya selepas ditangkap ketika cuba memasuki stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.
Sahar, 29, kemudian meninggal dunia selepas seminggu.
Wanita ini membakar dirinya di depan mahkamah di Teheran selepas dimaklumkan dia mungkin dipenjara enam bulan kerana cuba memasuki Stadium Azadi untuk menyaksikan pasukan kegemarannya, Esteghlal FC melawan pasukan Emiriah Arab Bersatu, Al Ain ketika perlawanan kejuaraan AFC.
Dia dikejarkan ke hospital dengan lecuran teruk pada 90 peratus badannya selain kerosakan terhadap paru-paru sebelum disahkan meninggal dunia pada lewat Isnin, lapor Al Jazeera.
Semalam, lebih daripada 3,500 wanita membeli tiket untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia itu.
Mereka yang ditempatkan di tempat duduk khas di Stadium Azadi yang mampu menampung kapasiti sebanyak 78,000.
Tiket-tiket yang diperuntukan kepada wanita habis dijual dalam beberapa minit sahaja.
Gambar-gambar yang diambil dari dalam stadium menunjukkan peminat bola sepak wanita dengan penuh semangat melepaskan bendera Iran dan bersorak pada pasukan mereka.
Mereka gembira melihat Iran memenangi perlawanan dengan 14-0.
Kaum wanita Iran sebelum ini dibenarkan masuk ke Stadium Azadi untuk menyaksikan siaran langsung pasukan mereka bermain di Sepanyol pada Piala Dunia 2018.
Tetapi semalam adalah kali pertama kaum wanita telah dibenarkan untuk menonton perlawanan di stadium tersebut. – MalaysiaGazette