Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Emolumen kekal sebagai komponen perbelanjaan operasi terbesar dan dianggar meningkat kepada RM82.6 bilion berikutan kenaikan gaji tahunan.

Peruntukan ini bertujuan membayar gaji dan upah, elaun dan pelbagai imbuhan lain kepada hampir 1.4 juta penjawat awam Kerajaan Persekutuan dengan 67.5% diperuntukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bayaran persaraan merangkumi pencen bulanan, bayaran ganjaran secara one-off dan bayaran balik pesara bagi gantian cuti rehat dianggarkan meningkat 1.9% kepada RM27.1 bilion.

Sekitar 75% bayaran persaraan terdiri daripada bayaran pencen bulanan untuk hampir 874,000 pesara dan waris.

Perkhidmatan dan bekalan, komponen kedua terbesar dalam perbelanjaan operasi dijangka meningkat 27.7% kepada RM38.5% bilion disebabkan perbelanjaan lebih tinggi bagi pembaikan dan penyelenggaraan serta perkhidmatan profesional.

Kementerian Kesihatan menerima peruntukan tertinggi 28.2% dengan sebahagian besar untuk perolehan bekalan perubatan dan Kementerian Pendidikan menerima peruntukan kedua terbesar 16% untuk pembaikan dan penyelenggaraan kemudahan sekolah, perkhidmatan keselamatan dan pembersihan.

Subsidi dan bantuan sosial diunjur pada RM24.2 bilion, khasnya untuk Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bantuan kebajikan; subsidi berkaitan padi dan minyak; pampasan tol; serta bantuan berkaitan pendidikan termasuk biasiswa.

Kerajaan menyediakan peruntukan BSH sebanyak RM5 bilion pada tahun 2020 untuk mengurangkan beban kewangan penerima.

Subsidi minyak dianggar lebih rendah dengan jangkaan pelaksanaan semula sistem apungan terkawal untuk RON95 dan diesel.

Pemberian kepada badan berkanun dianggar meningkat sebanyak 15.5% kepada RM15.3 bilion disebabkan keperluan lebih tinggi oleh universiti awam dan hospital pengajar berjumlah RM8.6 bilion.

Manakala pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri dianggar RM7.7 bilion dengan RM5.7 bilion merupakan pemberian yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Bayaran khidmat hutang Kerajaan Persekutuan dijangka mencatat RM34.9 bilion dan daripada jumlah ini 97.7% diperuntukan untuk pembayaran kupon atas hutang dalam negeri terutama untuk Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Pelaburan Kerajaan Malaysia dan bakinya untuk pinjaman luar pesisir. – MalaysiaGazette