KESUNGGUHAN sesetengah pemimpin politik dan tokoh berpengaruh di pelbagai peringkat masyarakat memberi pandangan terhadap perkembangan politik negara mutakhir ini amat membimbangkan.

Semangat yang dibakar oleh pemimpin-pemimpin ini telah mendorong para pengikut atau pengkagum mereka untuk turut memberi pandangan mereka di pelbagai medium khususnya media sosial.

Ada antara kenyataan mereka benar-benar sarat dengan kebencian, prasangka dan segala yang negatif. Tanpa disedari, nilai murni rakyat Malaysia selama ini bagai di ambang kemusnahan.

Namun begitu, amai memilih berdiam diri dan berharap Malaysia dipacu oleh pemimpin dan rakyat yang terus mendukung nilai terpuji seperti saling hormat menghormati, berkerjasama, dan percaya mempercayai di antara satu sama lain.

Persoalannya, adakah mereka yang diangkat menjadi pemimpin satu-satu masyarakat atau parti itu berbicara berasaskan fakta dan kematangan atau membuta tuli mengikut emosi?

Adalah mudah untuk menyalakan api kebencian terhadap satu sama lain tetapi amat sukar untuk memadamkannya apabila sudah marak dan menggila.

Peristiwa hitam seperti 13 Mei 1969 perlu dijadikan sempadan kepada seluruh rakyat Malaysia. Jangan sesekali ada yang mencuba untuk memilih jalan itu atas nama untuk ‘membetulkan’ keadaan.

Ambillah iktibar akan kehancuran negara akibat perang saudara seperti Syria, Libya, Yemen dan banyak lagi. Hingga ke hari ini sudah bertahun-tahun mereka berperang.

Berbalik kepada isu pemimpin politik di Malaysia, terdapat pemimpin yang terus-terusan meniup api perkauman bangsanya (Melayu, Cina, dan India), mahupun atas sentimen kenegerian.

Pastinya tidak menjadi kesalahan untuk pemimpin membahaskan isu-isu sensitif berkaitan kaumnya selagi ia dipandu berteraskan kepada asas yang jelas dan dalam konteks Malaysia hari ini iaitu perlembagaan negara.

Pendekatan memainkan sentimen tanpa tanggungjawab harus dibenteras tetapi jika sentimen itu benar walaupun pahit untuk dinyatakan perlulah dikendali oleh mereka yang matang, berpengalaman dan berpandangan jauh.

Dalam konteks ini, tokoh-tokoh akademik dan masysrakat di samping kepimpinan kerajaan serta kepimpinan parti politik tanpa mengira kaum perlu bertemu dan berbincang secara matang dan pastinya berpandukan kepada Perlembangaan negara.

Dengan kata lain, adalah tidak bijak sama sekali apabila satu-satu keputusan yang diambil oleh kerajaan itu dibuat berlandaskan kepada padangan pemimpin politik sahaja khususnya oleh mereka yang sedang menjawat jawatan utama dalam pentadbiran negara atau memimpin agensi-agensi utama kerajaan.

Fenomena di mana keputusan dibuat oleh beberapa individu atau kumpulan yang anggotanya tidak terlatih dalam satu-satu isu itu di samping mudah terdorong untuk membuat keputusan berasaskan emosi perlu dibendung.

Sesetengah pemimpin politik mahupun tokoh yang menggambarkan dirinya seperti tahu semua perkara adalah amat berbahaya. Sikap sedemikian boleh membawa kepada risiko membuat keputusan yang salah.

Dalam konteks masyarakat majmuk seperti hari ini, keputusan khususnya berkaitan dasar di peringkat nasional mahupun negeri wajar dibuat bersandarkan kajian yang bebas dan berpaksikan kepada Perlembagaan negara.

Kementerian Pendidikan perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam mendidik rakyat akan intipati Perlembagaan negara menerusi kurikulum yang diajar di sekolah dan universiti.

Banyak isu dan konflik yang timbul hari ini berpunca dari ketidakfahaman pemimpin politik dan masyarakat terhadap perlembangaan negara dan sensitiviti satu-satu kaum.

Dengan kata lain, jika semua pihak iaitu pemimpin dan rakyat benar-benar ikhlas dan mahu melihat negara ini terus aman dan maju, maka hentikanlah dengan segera segala tindakan yang boleh mengeruhkan keharmonian yang ada.

Malaysia tidak akan mencapai potensi sebenarnya jika bangsa majoriti terus diasak dengan perkara-perkara yang menjolok mata mereka dan bangsa minoriti terus ditakut-takutkan dengan kehilangan hak mereka.

Bangunlah rakyat Malaysia sebagai warga yang bebas, merdeka dan maju dalam pemikiran dan tindakan.

Telah tiadakah perasaan kasih dan sayang sesama kita (orang Melayu, Cina, India dan lain-lain) sedangkan telah berpuluh-puluh tahun kita bersahabat.

Untuk itu, marilah kita baiki segala kepincangan itu dengan bijaksana. Jangan ambil jika bukan hak kita. Jangan nafikan hak mereka yang berhak. Bersama kita berganding bahu memacu agenda besar negara iaitu menjadi negara maju, aman, makmur dan sejahtera. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Profesor di Pengajian Strategik, Universiti Utara Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast