SHAH ALAM – Tindakan orang awam yang menghubungi pihak bomba selepas melihat asap tebal keluar dari sebuah gudang kosong di Jalan Meru, Kapar dekat sini semalam, berjaya membongkar kegiatan sebuah makmal memproses dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP R Sundralingam berkata, gudang berkenaan dijadikan sebagai makmal memproses dadah jenis Methamphetamine berdasarkan barangan yang ditemui di lokasi.
“Susulan kejadian polis menahan dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 52 dan 47 tahun bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bernama difahamkan asap tebal yang keluar dari gudang berkenaan adalah berpunca daripada campuran bahan kimia ketika proses menghasilkan dadah itu dilakukan.
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya mendapat maklumat dari orang awam berhubung kejadian itu pada jam 9.57 pagi, sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, terpaksa memecahkan panel suis bagi membuka pintu gudang berkenaan.
“Selepas berjaya memasuki gudang, bomba mendapati api sudah terpadam dan menemui dua individu yang berada dalam keadaan lemah.
“Siasatan lanjut mendapati kebakaran itu berpunca daripada bahan kimia yang tidak diketahui jenisnya yang sedang dimasak,” katanya. – MalaysiaGazette