Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2020 gagal memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk rakyat Sarawak, tegas Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Kata beliau, dari segi peruntukan pembangunan misalnya, Sarawak menerima hanya RM4.4 bilion berbanding RM5.2 bilion untuk Sabah.

Dengan jumlah RM9.6 bilion untuk kedua-dua negeri itu, katanya, hanya 17.1 peratus daripada jumlah dana pembangunan dalam Bajet 2020.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, sedangkan manifesto PH telah menjanjikan 30 peratus dana pembangunan akan diagihkan kepada Sarawak dan Sabah, tetapi kenapa hanya 17.1 peratus yang diperuntukkan?

“Belanjawan 2020 ini sedap didengar dan hanya indah pada bunyinya, namun ia sebenarnya gagal memenuhi janji manifesto PH untuk rakyat Sarawak sendiri.

“Mengapa Sarawak terus menerima peruntukan jauh lebih kecil berbanding Sabah, sedangkan Sarawak negeri terbesar dengan keluasan hampir menyamai seluruh tanah Semenanjung. Apakah rasionalnya memberikan peruntukan lebih kecil kepada Sarawak?

“Jika begini cara kerajaan PH mengagihkan peruntukan untuk Sarawak dan Sabah, hasrat untuk merapatkan jurang pembangunan antara dua negeri itu dan Semenanjung tidak akan dicapai dalam masa terdekat terutama dari segi infrastruktur,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Jelas beliau, ini disebabkan kerajaan PH sendiri tidak mampu untuk menunaikan apa yang telah dijanjikan dalam manifestonya kepada rakyat Sarawak.

“Begitu juga peruntukan bagi sekolah daif, kita mahu mendengar perincian pelaksanaannya untuk Sarawak kerana kita sudah membayar RM350 juta sebagai bayaran awal untuk sejumlah RM1 bilion sebagai kontra.

“Malangnya, ia tidak diperincikan dalam pembentangan belanjawan itu dan kita mahu projek menaiktaraf serta membina semula sekolah daif dipercepatkan untuk menjamin kebajikan anak dan guru supaya pada akhirnya pencapaian mereka dapat dipertingkatkan,” katanya.

Menurut Fadillah, Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Parlimen semalam juga tidak menyentuh janji manifesto PH Sarawak untuk memulangkan kembali 50 peratus cukai yang dikutip.

Katanya, tiada langsung pengumuman mengenainya dan mana janji manifesto PH Sarawak?

“Secara umum kita juga melihat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak dihormati apabila Menteri Kewangan menyentuh mengenai semakan semula geran untuk Sarawak dan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kita sambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan menaikkan geran kepada Sarawak dan Sabah, namun apakah ia sudah dibincang, diperincikan dan diluluskan di peringkat Jawatankuasa Teknikal?

“Saya percaya ia perlu dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Teknikal, diperhalusi, diperincikan dan dipersetujui bersama, barulah boleh diumumkan, bukan keputusan dibuat secara unilateral,” katanya.

Ini kerana, kata beliau, kadar pemberian khas jauh berbeza, yang mana Sabah menerima RM106.8 juta berbanding Sarawak RM64 juta dalam tempoh lima tahun.

Sebab itu, jelas beliau, GPS menganggap Semangat MA63 tidak dipenuhi, dihayati dan dihormati oleh Guan Eng sendiri.

“Semua ini menunjukkan Sarawak masih dipandang sebelah mata bukan sepenuhnya, sebab itu kita lihat Sarawak menerima peruntukan lebih rendah berbanding Sabah, walaupun luas Sarawak jauh lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast