KUALA LUMPUR – Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun depan dianggap terlalu kecil untuk diterima oleh golongan sasar B40 dan M40.

Justeru, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) perlu mengkaji semula kadar tersebut kerana RM1 sehari bagi yang memiliki kereta dan 40 sen sehari untuk pemilik motosikal sangat tidak wajar.

Menurut Ketua penaja Pergerakan Wirawati Parti Putra Malaysia, Dr. Asmah Razalli, agak malang bagi penerima PSP kerana tahun depan juga kerajaan akan mengapungkan harga minyak.

Ini bermakna harga petrol akan meningkat, yang sekali gus memberi kesan kepada peningkatan harga barang keperluan harian.

“Yang pasti rakyat juga menjadi mangsa kepada ketidakcekapan kerajaan PH memerintah dan mengurus ekonomi negara.

“Golongan sederhana seperti M40 dan berpendapatan rendah B40 pasti terbeban dengan pemotongan subsidi ini, sedangkan mereka adalah penyumbang hasil cukai jalan terbesar negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Dr. Asmah, KPDNKK pada dasarnya bersetuju memberi bantuan PSP kepada M40 setelah dikritik, diasak dan dipersoalkan tindakan itu.

Beliau bagaimanapun mahu pelaksanaan PSP dengan cara pengkreditan terus ke akaun penerima yang tersenarai dalam skim Bantuan Sara Hidup (BSH) perlu dikemaskinikan dan dipantau.

“Rakyat perlu diberi peluang memohon semula dengan kriteria lebih bersasar dan setakat ini hanya 2.9 juta bakal menerima subsidi RM1 dan 40 sen sehari dalam tempoh empat bulan.

“Jumlah ini terlalu sedikit daripada subsidi asal, sedangkan elaun menteri dan exco masih bermewahan tanpa satu sen pun pemotongan dibuat,” katanya sambil memberi peringatan bebanan ekonomi sebenar akan mula dirasai menjelang Januari tahun depan.

Beliau juga mahu rakyat mula berfikiran kritis dan logik, bukan hanya melaung kosong tanpa nilai.

“Tiada kesamarataan dalam perkongsian yang boleh digunapakai antara miskin dan kaya kerana jurangnya terlalu besar, dengan B40 perlu terus diberi sokongan, manakala M40 diberikan penjanaan dan T20 perlu lebih menyalur,” katanya.

Mengenai cukai atas cukai, Dr. Asmah berkata, kaedah diperkenalkan kerajaan itu bukan jalan penyelesaian inflasi, begitu juga penjualan aset negara secara meluas bukan cara untuk menyelesaikan hutang, sebaliknya menjadikan Malaysia negara miskin pelaburan dan penjanaan ekonomi.

Beliau turut menjelaskan, dana dan subsidi adalah hak rakyat, oleh itu tiada isu atau persoalan timbul sebagai tongkat atau mengemis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast