Reaksi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap kepada media pada Pelancaran Bulan Sukan Negara PDRM 2019 di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara memberi jaminan pihaknya  akan hanya bertindak berdasarkan bukti sahih dan tidak akan sesekali menangkap mana-mana individu sesuka hati seperti yang menjadi kerisauan segelintir pihak.

Tanpa menamakan mana-mana pihak secara khusus, Tan Sri Abdul Hamid Bador meminta, terutamanya ahli politik supaya bertenang dan membiarkan sahaja polis menjalankan tanggungjawab mereka tanpa prejudis.

“Saya tidak main tangkap orang sesuka hati. Ingat itu. Kami ada bukti tertentu sebelum membolehkan pihak kami bertindak.

“Saya minta pemimpin politik ini supaya bertenang. Keselamatan adalah tanggungjawab PDRM. Insya Allah, saya yakinkan kamu sekelian, dalam semua perkara saya akan berlaku adil. Saya akan ikut SOP. Jangan risau.

“Polis akan bawa kes ini kepada Jabatan Peguam Negara dan biarkan mereka membuat keputusan tentang bukti tersebut. Itu terpulang sepenuhnya kepada mereka.

“Saya berniat untuk menyelamatkan mereka daripada menjadi lebih ‘ganas’ lagi. Kami mempunyai bukti melaksanakan tindakan tangkapan. Terpulanglah kepada mereka dan peguam mereka untuk berhujah, kita tengok sama-sama,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang tangkapan terbaru yang membabitkan dua pemimpin DAP didakwa terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Tangkapan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditangkap iaitu ADUN Gadek, G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran itu juga mendapat reaksi negatif daripada kalangan pimpinan tertinggi parti itu, yang turut mengkritik polis.

Antaranya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan tangkapan itu sangat mengejutkan dan amat yakin kedua-dua pimpinan tersebut sebenarnya tidak bersalah, malah pihaknya akan berdiri teguh di belakang kedua-dua mereka.

Guan Eng berkata, DAP sudah menyediakan pasukan undang-undang diketuai Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bagi mewakili dua pemimpinnya itu.

Manakala Adun Seberang Prai merangkap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy pula menggambarkan penahanan dua wakil rakyat DAP dan lima yang lain kerana didakwa ada ada kaitan dengan LTTE itu tidak masuk akal sama sekali. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast