KUALA LUMPUR – UKM FC tidak rela dilanda lagi kedukaan selepas dua kali berturut-turut tersungkur di saingan akhir Piala FAM 2017 dan final Piala Cabaran pada musim lalu apabila sedia bangkit pada final kedua berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT II) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini.

Penolong jurulatih UKM FC, Juzaili Samion berkata, beliau sememangnya gembira dengan pencapaian menakjubkan kelab itu kerana mampu melakar sesuatu yang sukar dibuat oleh pasukan-pasukan lain tetapi pada masa sama berharap badi di pentas final mampu dihapuskan.

Tambahnya, beliau mengharapkan pemain-pemain masih positif untuk bangkit memadam defisit kelebihan dimiliki JDT II dan seterusnya menjulang trofi sulung UKM FC di persada Liga Malaysia.

“Ini sememangnya final kali ketiga berturut-turut buat kami dan bagi saya, daripada segi sejarah, kami telah pun melakukan rekod dan satu pencapaian tertinggi buat kelab seperti UKM FC.

“Cuma sememangnya lebih manis jika kami mampu membawa pulang trofi ini pada hari esok pada final ketiga kami dan dalam bola sepak, segala kemungkinan masih boleh berlaku.

“Beberapa penambaikan juga kami telah lakukan berdasarkan final terdahulu dan harap pemain akan lebih tajam dalam usaha mendapatkan jaringan bagi cuba memadamkan kelebihan satu gol dimiliki lawan nanti, ” katanya pada sidang media final kedua Piala Cabaran semalam.

Hajat UKM FC pada musim lalu disekat oleh Terengganu FC II selepas kalah melalui agregat 4-2 manakala di saingan Piala FAM, Sime Darby muncul juara dengan agregat 3-2 ke atas UKM.

Pada saingan final pertama 4 Oktober lalu, UKM FC kalah 0-1 melalui jaringan tunggal pemain gantian Amirulhadi Zainal pada minit ke-64 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Mengenai kehadiran Mohd. Fadhli Shas dan Ahmad Hazwan Bakri yang disenaraikan JDT II bagi menghadapi final kedua, Juzaili mengambil perkara itu daripada sudut positif serta memahami peraturan yang telah ditetapkan.

“Kami ambil perkara ini sebagai satu cabaran, saya rasa tiada isu dalam perkara membabitkan membawa turun ke bawa atau naik ke atas melibatkan kedua-dua skuad, kami hanya fikirkan persiapan sahaja untuk perlawanan Sabtu ini, ” katanya.

Sementara itu, ketua pasukan UKM, Asnan Ahmad, dia tidak mahu apa pisang berbuah dua kali apabila mereka dihukum atas faktor hilang fokus seperti mana yang terjadi di Pasir Gudang, minggu lalu.

“ Pada perlawanan sebelum ini, kami bukannya tidak boleh bermain dengan baik kerana di separuh masa pertama kami berjaya beri saingan sebelum sedikit kelekaan di babak kedua menghukum kami.

“ Jadi kami kena pastikan penguasaan bola akan lebih berpihak kepada UKM pada 90 minit kedua dan cuba dapatkan peluang lakukan serangan balas sebanyak mungkin.

“ Kehadiran pemain seperti Hazwan dan Fadhli juga nanti pasti beri kesan kepada JDT II namun kami sudah ada pengalaman menentang pasukan-pasukan besar seperti Pahang di saingan Piala FA, musim ini, “ katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast