SHAH ALAM – Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dengan wajah baharu yang gemilang bakal menjadi pusat integrasi sukan, budaya, komuniti dan keusahawanan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, KSSA akan menjadi pemangkin kepada transformasi Shah Alam sebagai destinasi mampan yang membina warisan untuk generasi akan datang.
Menurut beliau, KSSA akan menjadi rumah baharu kepada pasukan lagenda Selangor FC sekali gus menyediakan kelab berprestij itu dengan kemudahan bertaraf dunia yang sewajarnya sebagai pengiktirafan terhadap legasi dan pencapaiannya.
“Kita telah melalui proses yang panjang dari segi penelitian kapasiti dan kemampuan berteraskan keperluan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Bagi Pembangunan KSSA, di sini hari ini.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyaksikan majlis tersebut.
Kerajaan negeri Selangor, melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), telah melantik Lembaran Prospek Sdn Bhd (LPSB), anak syarikat milikan penuh MRCB Land Sdn Bhd bagi kerja-kerja pembinaan dan penyempurnaannya projek tersebut.
MRCB Land adalah anak syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB)
Kerajaan negeri Selangor akan bekerjasama rapat dengan firma tempatan Hijjas Architects & Planners dan pakar reka bentuk stadium bertaraf dunia, Populous.
“Stadium Shah Alam telah menjadi kebanggaan dan kemegahan Selangor selama lebih 25 tahun dan kini tiba masanya untuk mengembalikan kegemilangannya.
“Sepanjang tempoh itu, stadium ini telah menjadi latar kepada pelbagai detik sukan yang membanggakan dan kenangan yang tidak dapat dilupakan,” tambah beliau.
Dalam ucapannya, Amirudin berkata, visi kerajaan negeri tersebut adalah meletakkan KSSA sebaris dengan stadium-stadium ikonik terkemuka peringkat antarabangsa, selain pelengkap kepada Kompleks Sukan Kuala Lumpur yang telah memenangi pelbagai anugerah.
Tambah beliau, stadium tersebut juga tidak hanya berfungsi seperti sebelum ini sebagai stadium bola sepak dan hanya digunakan kurang daripada 30 hari setahun.
Sebaliknya, jelas Amirudin, stadium berkenaan bakal menjadi kawasan yang meriah dan pelbagai guna dengan reka bentuk yang sesuai sepanjang tahun.
“Ini menandakan peralihan daripada infrastruktur satu guna kepada ruang dinamik yang memaksimumkan nilai kepada orang ramai dan keterlibatan komuniti,” katanya lagi.
KSSA dijangka siap sepenuhnya pada 2030.
Berkeluasan 310,000 meter persegi, KSSA akan disediakan dengan ruang lanskap hijau yang disertai taman botani, laluan jogging dan berbasikal, serta laluan mesra pejalan kaki, selaras dengan tema Kelestarian di dalam Rancangan Selangor 1 (RS1).
Antara kemudaian yang akan disediakan adalah dewan serbaguna tertutup; padang latihan bola sepak; sebuah arena, ruang seni, budaya dan acara serta pusat beli belah gaya hidup dengan ruang F&B.
Dalam pada itu, Amirudin optimis, KSSA akan menjadi contoh baharu ke arah merealisasikan matlamat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi bandar rendah karbon pada 2030. – MalaysiaGazette
















