KUALA LUMPUR – Tindakan pemimpin DAP yang terus mempertahankan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) hanya membenarkan persepsi bahawa mereka juga boleh dianggap sebagai parti pengganas.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sikap pemimpin DAP yang masih menegakkan tindakan pemimpinnya menyokong kumpulan pengganas antarabangsa itu hanya memberi gambaran buruk kepada parti tersebut.
“Jika DAP berterusan dengan sikap seperti ini dan tidak menjarakkan parti mereka daripada individu-individu termasuk kepimpinan parti yang dikaitkan dengan LTTE.
“Maka sedikit demi sedikit akan membenarkan persepsi yang sedang terbentuk bahawa DAP adalah parti pengganas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khamis lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, Melaka, G.Saminathan, antara tujuh individu ditahan pihak polis selepas dipercayai terbabit dalam majlis memperingati perjuangan LTTE.
Exco Perpaduan, Sumber Manusia, NGO dan Hal Ehwal PENGGUNA Melaka itu ditahan dan digari di pejabatnya, Seri Negeri oleh pihak polis, pada Khamis bagi membantu siasatan.
Sementara itu, di Negeri Sembilan, ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran juga dipercayai telah ditahan oleh pihak berkuasa polis yang sama pagi Khamis lalu.
Mereka ditahan kerana didakwa mempromosikan, menyokong, dan memiliki bahan serta mengagihkan dana yang mempunyai kaitan kumpulan pengganas itu.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut mempersoalkan sikap pemimpin DAP yang mempertikai tindakan pihak berkuasa yang menahan wakil rakyat mereka sedangkan ia mengikut perundangan negara.
“Kenapakah DAP dan pimpinan mereka bersungguh-sungguh mempertahankan LTTE?
“Malah mereka mempertikaikan undang-undang dan tindakan polis yang sedang menjalankan tugas dan melaksanakan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.
Katanya lagi, UMNO dan Pas sendiri tidak pernah mengiktiraf ISIS dan DAESH sebagai salah satu daripada ajaran Islam.
“Dunia melabelkan LTTE sebagai pengganas, sebagaimana ISIS atau DAESH dilabelkan kumpulan pengganas.
“Di Malaysia tidak pernah parti politik Melayu-Islam sama ada UMNO atau Pas mempertahankan ISIS atau DAESH.
“Bahkan menyatakan dengan tegas ISIS atau DAESH sebagai kumpulan yang tidak sesekali mewakili ajaran Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette