P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy menggesa agar polis yang menahan beberapa orang termasuk pemimpin DAP agar mendakwa mereka di mahkamah ekoran dakwaan terlibat kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelan (LTTE).

Ujarnya, hanya hakim di mahkamah sahaja yang boleh membuktikan tuduhan ke atas mereka tanpa melibatkan pihak berkuasa.

“Saya tidak pertikaikan bukti polis kalau mereka ada bukti, tapi akhir sekali keadilan ditentukan oleh hakim mahkamah, bukan polis, peguam bela. Jadi kita minta bahawa perkara ini dibawa ke mahkamah,” katanya ketika mengadakan lawatan rasmi ke Dewan Rakyat, hari ini.

Ramasamy berkata demikian ketika ditanya media mengenai perkembangan terbaharu siasatan polis mengenai LTTE.

Semalam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis menjalankan siasatan dan melakukan tangkapan susulan jika terdapat sebarang bukti mengaitkan pemimpin DAP dengan LTTE.

Ayob berkata demikan bagi mengulas dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa polis tidak lagi akan membuat tangkapan membabitkan pemimpin atau anggota parti terbabit berhubung isu LTTE.

Malah polis turut mendedahkan wujud transaksi kewangan dalam jumlah yang besar dipercayai untuk menggerakkan kumpulan berkenaan.

Dalam pada itu, Ramasamy bertegas dengan pendirian beliau bahawa perlu ada keadilan terhadap tahanan LTTE.

Malah beliau menyifatkan LTTE adalah satu gerakan tidak berbahaya kepada negara.

“Isu kata LTTE bahaya saya rasa tidak setuju kerana LTTE sudah tidak ada lagi,” katanya lagi.

Sehingga kini, polis telah menahan 12 individu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan terbabit dalam operasi khas Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sejak Khamis lalu.

Daripada jumlah itu, tujuh orang termasuk dua wakil rakyat dari DAP ditahan polis minggu lalu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma kerana disyaki terlibat dalam aktiviti LTTE. – MalaysiaGazette