Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi dalam kes rasuah bekas menteri wilayah persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memutuskan bahawa tidak terdapat bukti bahawa UMNO telah menerima RM2 juta dari Aset Kayamas Sdn Bhd.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut berpendapat bahawa RM2 juta itu dimanfaat oleh tertuduh (Tengku Adnan) dan ini diterima tanpa pertimbangan yang berharga.

“RM2 juta itu yang diberikan oleh pihak kedua (Aset Kayamas) dibayar kepada Tadmansori Holdings Sdn Bhd, dan pergerakan wang itu berakhir di situ. Tidak terdapat hubungan yang bayaran itu dibuat kepada UMNO daripada akaunTadmansori Holdings,” kata hakim.

Hakim itu berkata resit saja tidak menjadi bukti yang UMNO telah menerima RM2 juta itu dari Aset Kayamas.

“Hakikat bahawa resit itu ditandatangani oleh tertuduh sendiri tidak terlepas daripada pemerhatian saya. Saya telah juga menganalisis dan mempertimbang testimoni Tan Sri Chai Kin Kong (pengarah urusan Aset Kayamas dan saksi pendakwaan ke-19) dan pegawai penyiasat Muhammad Saad Bordani (saksi pendakwaan ke-23).

— BERNAMA