Anthony Loke

JOHOR BAHRU- Keputusan untuk meneruskan pembinaan projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) akan diumumkan hujung bulan ini.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, perkara itu akan dibincang dan diputuskan kabinet dalam tempoh dua minggu lagi.

“Pengumuman Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) semasa pembentangan Belanjawan 2020 yang lalu menunjukkan hasrat kerajaan untuk meneruskan pembinaan RTS.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh memberikan butiran terperinci kerana perkara ini akan dibincangkan dan diputuskan oleh kabinet dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Lembaga Pelabuhan Johor 2019 di sini hari ini.

Tambah Anthony, selepas mendapat kelulusan kabinet, beliau akan menghubungI rakan sejawatnya, Khaw Boon Wan kerana projek berkenaan melibatkan kedua-dua negara.

“Kami komited kepada tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 31 Oktober jadi pengumuman rasmi akan dibuat pada tarikh berkenaan,” katanya lagi.

September lalu, Kementerian Pengangkutan Malaysia memaklumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir untuk membuat keputusan mengenai projek itu dalam tempoh satu bulan hingga 31 Oktober 2019 tanpa sebarang kos tambahan.

Singapura juga bersetuju untuk mengecualikan kos tambahan yang ditanggung oleh Singapura dalam tempoh satu bulan yang timbul disebabkan permintaan Malaysia, tetapi berhak menuntut apa-apa kos tambahan yang dialami selepas 30 Sept, 2019 sekiranya Malaysia meminta lagi lanjutan tempoh penggantungan.

Perjanjian untuk menggantung projek dari 1 April 2019 hingga 30 Sept 2019 ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke dan Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan pada 21 Mei 2019.

Menurut perjanjian itu, Malaysia akan membayar balik kira-kira RM2 juta kepada Singapura pada 31 Julai 2019, sebagai kos kegagalan yang ditanggung akibat penggantungan selama enam bulan.

Perjanjian dua hala mengenai RTS ditandatangani pada Januari tahun lepas semasa pentadbiran Barisan Nasional yang terdahulu.- MalaysiaGazette