KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat minum bersama dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kantin Parlimen hari ini berkata, mereka berdua membincangkan mengenai isu ekonomi negara.
Jelasnya, mereka tidak langsung menyentuh mengenai isu politik mahupun mengenai parti.
“Kita cuma bincang mengenai ekonomi negara. Isu parti terkawal, parti baik dan ekonomi pun bincang.
“Bincang mengenai isu ekonomi negara selama 30 minit,” katanya kepada media yang mengerumuni beliau sebaik selesai membahaskan jet 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang ditanya sama ada beliau ada meminta Azmin untuk hadir Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat dan Mesyuarat Biro Politik berkata; Saya tidak ada masa nak tanya. Sebab banyak masalah ekonomi yang harus dibereskan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut ditanya sama ada pertemuan itu adalah mesyuarat penyatuan seperti yang dipohon oleh Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Anwar menafikannya.
“Bukan. Itu cuma mesyuarat biasa,” katanya lagi.
Anwar pada 17 September lalu bertegas tidak bersedia untuk berganjak dengan tuntutan Zuraida yang mahu “mesyuarat penyatuani” diadakan antara Presiden PKR dan pihak dalam PKR yang tidak puas hati dengannya.
Sebaliknya, kata Anwar, beliau boleh berjumpa dengan mereka dalam banyak mesyuarat biasa PKR yang telah mereka pulaukan.
Tengah hari tadi, Anwar memuatnaik gambar bersama Azmin yang sedang minum namun tidak memperincikan mengenai pertemuan tersebut.
“Minum kopi bersama Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung di lounge Parlimen,” katanya di Twitter.
Turut kelihatan adalah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution. -MalaysiaGazette