Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan polis digesa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur Piala Tun Razak 2019 walaupun kenyataan permohonan maaf telah dikeluarkan.

Angkatan Wanita Amanah (Awan) Nasional berkata, siasatan rapi bagi mengenal pasti dalang di sebalik penganjuran Piala Tun Razak perlu dilakukan kerana secara jelas wujud unsur sabotaj kepada nama baik KPM.

“KPM perlu bertanggungjawab dengan memanggil semula kesemua peserta yang terlibat dalam program berkenaan untuk diberikan penjelasan berhubung  pendirian pihak kerajaan dalam isu ini, selain mendapatkan maklum balas daripada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

AWAN juga mencadangkan agar pihak penganjur pada siri debat akan datang ditukar kepada organisasi yang lebih layak serta beretika.

Penganjur selaku warga Malaysia dewasa bertanggungjawab mempengaruhi pemikiran para pelajar ini supaya berfikiran kritis dan dalam masa yang sama tidak menggunakan penghujahan yang melampaui batas agama dan moral. – MalaysiaGazette