Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Unjuran defisit fiskal dalam Belanjawan 2020 pada 3.2 peratus dan kedudukan hutang negara yang meningkat pada paras RM799 bilion setakat 30 Jun lalu bukan sesuatu petanda baik untuk ekonomi negara.

Ini kerana, jika hutang terus meningkat ketika pertumbuhan kurang memberangsangkan dan hasil negara merosot dibimbangi ekonomi sukar untuk bergerak.

Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, apabila senario itu berlaku bermakna kerajaan memerlukan bajet yang lebih besar

“Kita harap benda (keadaan) ini tidak berlaku tetapi masalah ini kena ambil kira,” katanya dalam program Hujah, yang terdahulu menempelak Pakatan Harapan (PH) kerana kerap mengkritik kerajaan dahulu mengenai defisit tetapi tidak tahu sebenarnya,” katanya dalam program Hujah Penerangan UMNO Malaysia.

Katanya, defisit adalah pendapatan yang ditolak dengan belanja pengurusan dan belanja pembangunan. Jumlah negatif yang diperoleh itu adalah defisit.

Jelas beliau, kalau berlaku defisit kerajaan perlu meminjam dan amalan ini biasa. Cuma jika unjuran defisit lebih rendah seperti yang diunjur oleh kerajaan dahulu pada 2.8 peratus untuk Bajet 2020 bermakna pinjaman yang akan dibuat berkurangan.

“Sebab itu apabila kerajaan baru ambil alih, saya ingat defisit akan berkurangan, tetapi bertambah naik sebelum bajet dibentang,” katanya.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi yang lemah akan menyukarkan negara menjana ekonomi, sekali gus boleh mengakibatkan peluang pekerjaan perlahan, yang akhirnya tidak dapat menarik pelaburan.

Oleh sebab itu, Johari mengingatkan dalam menangani isu ekonomi, sama sekali tidak boleh menggunakan naratif politik tetapi berdasarkan fakta walaupun ia akan menyebabkan kerajaan tidak popular.

“Tidak popular tidak mengapa tetapi baik untuk negara. Kalau tidak boleh, cakap tidak boleh. Mengaku dan kemudian perjelaskan. Tidak boleh syok buat naratif politik untuk nampak bagus kerana isu ekonomi membabitkan 32 juta rakyat, syarikat-syarikat dan sebagainya,” ujarnya.

Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu menambah, semasa pentadbiran Barisan Nasional, kedudukan bursa berada pada sekitar 1,800 mata dengan nilai pasaran RM1.7 trilion.

Prestasinya dikagumi dalam pasaran serantau tetapi paras bursa tempatan kini berlegar 1,500, 1,600 mata, susut sebanyak 13 peratus.

“Jumlah 13 peratus ini kalau diambil kira nilai pasaran, satu jumlah yang besar. Senario ini membimbangkan para pelabur. Mereka tertanya-tanya berapa lagi nilai akan jatuh, menunjukkan ekonomi Malaysia dalam keadaan tidak menentu, hutang pula bertambah, nilai mata wang susut,” menurutnya lagi.

Petunjuk-petunjuk ini lagi penting sebelum terfikir untuk membawa syarikat Fortune 500 datang melabur ke Malaysia.

“Mereka (syarikat Fortune 500) bukan bodoh, mereka ada banyak pilihan, mereka syarikat antarabangsa boleh pilih mana hendak pergi. Kalau hendak panggil Fortune 500, Malaysia kena tunjukkan keyakinan kepada mereka.

“Jadi, signal pertama yang mereka tengok adalah sejauh mana keyakinan rakyat kepada kerajaan, sejauh mana kestabilan kerajaan, ini sangat penting. Mereka hendak tengok kepimpinan, mereka tahu (Tun) Dr. Mahathir (Mohamad) bagus tetapi siapa kepimpinan selepas ini. Ini semua penting.

“Kalau mereka tidak tahu, mereka akan tunggu. Kena ingat kita ada sejarah tukar polisi.”Baru perkenal GST sudah tukar balik. Buat tol selepas itu mahu ambil balik. Pelabur tidak suka macam ini kerana akan menjejaskan defisit fiskal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast