Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Hari Membasmi Kemiskinan Antarabangsa di Mercu UEM, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan pelabur enggan datang ke Malaysia kerana bimbang terhadap ketidaktentuan dalam penyerahan kuasa di antara beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tidak tahulah jika ada kurang tetapi berbilion pelaburan asing telah masuk ke Malaysia.

“Mana ada kurang tetapi kita mahu lebih banyak daripada itu.

“Pelaburan masih lagi masuk.

“Kita pernah melalui keadaan begini (ekonomi perlahan), dahulu pun ada juga pihak yang cuba menjatuhkan ekonomi Malaysia tetapi kita kena hadaplah,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Forum Hari Antarabangsa Pembasmian Kemiskinan 2019 di sini hari ini.

Semalam, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ramai pelabur dalam dan luar negara yang ditemuinya menyatakan kebimbangan terhadap keadaan politik dan isu-isu berkaitan penyerahan kuasa kempimpinan negara.

Ini menyebabkan mereka enggan untuk melabur di Malaysia.

Dalam perkembangan berbeza, Dr. Mahathir berkata, Malaysia belum menerima apa-apa kenyataan rasmi daripada kerajaan India berhubung ura-ura untuk memboikot minyak sawit dari negara ini.

Ia susulan kenyataan beliau mengenai isu wilayah bergolak yang ditadbir India iaitu Kashmir semasa berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UNGA) sebelum ini.

Jelasnya, beliau tidak boleh memberi maklum balas mengenai perkara tersebut kerana hasrat untuk memboikot minyak sawit Malaysia adalah datang daripada peniaga di negara tersebut dan bukannya kerajaan.

“Saya tidak boleh komen kerana ianya datang daripada peniaga sendiri.

“Kita tidak boleh memberi reaksi kepada pandangan peribadi tetapi setakat ini kami tidak ada menerima apa-apa kenyataan rasmi daripada kerajaan India.

“Jika ada, barulah kita boleh memberi maklum balas dan bertindak,” katanya lagi. -MalaysiaGazette