KUALA LUMPUR –  Perbadanan Pembangunan Perdagangan Malaysia (MATRADE) berharap kerajaan India tidak akan meneruskan hasratnya untuk mengehadkan import produk dari Malaysia termasuk minyak sawit, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Latiff Wan Musa.

“Ia adalah sesuatu yang kita tidak mahu ia berlaku, bukan hanya antara Malaysia dan India, tetapi antara Malaysia dan mana-mana negara lain berhubung perkara itu.

“Apabila berlakunya perlindungan perdagangan dan perang perdagangan, seperti yang sedang berlaku sekarang, ia adalah tidak sihat bagi pertumbuhan perdagangan global kerana apabila terjadinya perang perdagangan antara dua negara, kita turut sama terjejas,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai Hari Eksport Nasional (NED) MATRADE 2019 hari ini.

Dilaporkan sebelum ini bahawa India sedang menimbang mengehadkan import ke atas beberapa produk dari Malaysia termasuk minyak sawit selepas Putrajaya mengkritik tindakan New Delhi ke atas Kashmir.

Wan Latiff berkata, buat masa ini, tiada keputusan secara rasmi dibuat oleh kerajaan India dan Malaysia terutamanya Kementerian Industri Utama sedang memantau perkembangan tersebut.

Sementara itu, NED 2019 yang akan berlangsung di Menara MATRADE di sini pada 24 Okt bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, adalah satu usaha daripada agensi itu untuk menggerakkan komuniti pengeksport Malaysia mengembangkan lagi kedudukan global mereka dalam keadaan landskap ekonomi yang semakin mencabar.

NED 2019 yang bertemakan ‘Kemampanan dan Keterangkuman’ dijangka menarik penyertaan lebih 1,000 peserta termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), syarikat peringkat pertengahan dan syarikat berkaitan kerajaan dari semua industri seperti makanan dan minuman, minyak dan gas, kimia, pembinaan, logistik dan elektrik dan elektronik.

Beliau berkata program itu dibangunkan untuk merangkumi pelbagai isu utama yang relevan kepada komuniti eksport Malaysia termasuk berkaitan dengan perang perdagangan global, mentransformasikan juara tempatan kepada peneraju global, tadbir urus dan kemampanan.

“Sasaran kami adalah jelas dan mudah, kami mahu sebanyak mungkin syarikat Malaysia mendapat akses kepada acara ini dan bukan hanya memperoleh pengetahuan tetapi juga bermotivasi untuk memulakan penerokaan mereka dalam eksport, serta menyediakan bimbingan kepada pengeksport sedia ada agar mereka boleh terus berkembang.

“Ini penting bagi memastikan Malaysia akan mempunyai kumpulan pengeksport yang kukuh dan mencukupi bagi membantu negara kita mengekalkan prestasi perdagangan yang positif,” katanya.

Selain itu, Wan Latiff berkata NED 2019 merupakan sebahagian daripada inisiatif Nilai Dikongsi Korporat Matrade yang dipanggil Nilai Tindakan Kemampanan bagi Pengeksport dan perbadanan yang akan menerajui usaha mengguna pakai amalan mampan dalam kalangan syarikat Malaysia berdasarkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Menerusi ini (NED), syarikat Malaysia akan mempunyai peluang untuk terlibat dengan pemain industri mereka masing-masing serta pegawai MATRADE untuk mendapatkan penjelasan mengenai pemudahan agensi, yang dibimbing oleh pegawai yang berkhidmat sebagai pesuruhjaya perdagangan di luar negara dan bagaimana mereka boleh memanfaatkan insentif eksport yang diumumkan semasa Belanjawan 2020 baru-baru ini.

“Penceramah yang akan tampil dalam program itu termasuklah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking, Profesor Chinese University of Hong Kong Lim Chin Leng, dan pengasas bersama Ficus Venture Capital Sdn Bhd Rina Neoh,” katanya. – MalaysiaGazette