Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Parti-parti politik diminta supaya tidak menangguk di air keruh dengan menggesa pemecatan Naib Canselor Universiti Malaya, Dr Abdul Rahim Hashim berhubung ucapannya pada Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM),
Shahir Adnan berkata, ucapan Abdul Rahim pada kongres berkenaan tidak bersifat rasis hingga boleh mencetuskan perkauman sebaliknya, penyampaian itu bersifat fakta dan mempunyai mesej jelas untuk orang Melayu.

“Apa yang rasisnya jika Dr. Abdul Rahim Hashim mengutarakan fakta bahawa dominasi politik Melayu telah hilang selepas perubahan kerajaan dan hak istimewa orang Melayu dipersoal?

“Tun Dr. Mahathir dalam amanatnya turut menyatakan bahawa kerajaan hari ini tidak kuat kemelayuannya berbanding kerajaan terdahulu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain Shahir berkata, insiden provokasi yang berlaku pada Majlis Konvokesyen di Universiti Malaya yang dicetuskan oleh seorang graduan universiti itu benar-benar mengguris hati ribuan graduan lain yang mahu menikmati detik bersejarah setelah mereka bertungkus-lumus menuntut ilmu selama empat tahun di universiti itu.

Katanya, bercakap mengenai soal hak asasi kebebasan bersuara pelajar terbabit tidak wajar untuk merosakkan suasana konvokesyen yang mahu dinikmati oleh ribuan graduan lain.

“Perbuatan seperti ini jelas menunjukkan rendahnya “Emotional Quotient (EQ)” atau “kecenderungan emosi” walaupun kini bergelar siswazah,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kontroversi Debat Piala Tun Razak 2019 yang diadakan baru-baru ini Shahir berkata, perkara itu dilihat tidak menghormati adab orang Islam di bumi Malaysia.

Beliau mempersoalkan signifikan terhadap tajuk debat berkaitan homoseksual itu selain mempersoal Al-Quran dengan kemajuan pelajar-pelajar yang mengambil bahagian mahupun yang mengikutinya.

“Negara kita bukan negara liberal yang memberikan kebebasan seluas-luasnya tanpa sebarang undang-undang.

“Tajuk debat haruslah dipilih untuk memberikan kebaikan kepada anak muda, bukan memesongkan ajaran agama masing-masing.

“Seharusnya tajuk debat berkisarkan polisi pendidikan, ekonomi, alam sekitar, undang-undang dan masa depan negara menjadi tajuk utama,” tambahnya.

Justeru, DPIM menggesa siasatan dijalankan oleh Kementerian Pendidikan bagi mengajar pihak-pihak yang cuba mengeruhkan keharmonian agama dan kaum di negara ini. – MalaysiaGazette