Sultan Nazrin Shah

TANJUNG MALIM – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah agar raja dipersembahkan dengan sebaik-baik nasihat mengenai realiti yang sedang berlaku dan aspirasi majoriti rakyat agar institusi tersebut dapat memahami situasi semasa.

Baginda bertitah, ia bagi membolehkan raja mengambil tindakan sewajarnya termasuk melakukan pengubahsuaian agar tidak dianggap sebagai cermin lama, sebaliknya terus kekal relevan.

“… agar raja, ketika bersemayam di takhta pemerintahan, benar-benar memahami lantas melakukan pengubahsuaian tatalaku dan tataurusan agar institusi ini kekal relevan, tidak dianggap sebagai cermin lama untuk melihat wajah yang tua.

“Sebaliknya institusi ini kekal dan terus dihargai sebagai institusi yang berperanan dan berfungsi, diiktiraf sebagai institusi yang dinamik dan bertenaga di samping berjaya merangkaikan tradisi dalam era modenisasi,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Seminar Kesultanan Perak, Pameran Institusi Diraja Malaysia dan Pelancaran Buku Awang Had Salleh: Legenda Pendidikan Global Malaysia di Muzium Pendidikan Nasional, Kampus Sultan Abdul Jalil, Universiti Pendidikan Sultan Idris, di sini hari ini.

Dalam titah bertajuk ‘Menelusuri Jambatan Penghubung Raja dan Rakyat’, Sultan Nazrin menitahkan peserta seminar agar mencabar dan menganjakkan minda untuk menyeberangi sempadan baharu ketika membicarakan mauduk kesultanan.

“Pendekatan yang lebih kontemporari dan relevan wajib diteroka dalam hasrat mahu menyemai pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan apresiasi warga terutama warga muda terhadap sebuah institusi tradisi yang memberikan identiti kepada kerajaan dan negara Malaysia,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Nazrin juga bertitah agar pemahaman dan apresiasi terhadap institusi raja wajib dirakyatkan kerana jika gagal, ia akan bersifat elitis, berlegar dalam kalangan bangsawan serta elit akademik.

Sultan Nazrin juga menarik perhatian apabila menghalusi lirik korus lagu ‘tiga kupang’ berbunyi “raja dalam rumah buat kira-kira, suri dalam rumah makan roti gula”.

Baginda bertitah ,perkataan ‘kira-kira’ dalam lirik lagu itu bukan bermaksud raja membuat perkiraan matematik, sebaliknya membayangkan seorang raja ketika bersemayam tidak sekadar melahu atau ‘idle’, namun sentiasa berwaspada, melakukan perkiraan atau percaturan mengenai urusan pemerintahan dan negara.

“Lirik lagu ini menyelitkan secara tersirat mesej pendidikan, membolehkan anak sekolah mengenali dan menghargai raja. Minda anak-anak melalui nyanyian yang menghiburkan secara halus tetapi berkesan, disemai dan diasuh, mengenali peranan serta tanggungjawab berat seorang raja yang sentiasa memikirkan urusan negara,” titah Sultan Nazrin.

Dikenali sebagai seorang raja yang peka terhadap semua isu, Sultan Nazrin turut bertitah bahawa ketika ini, bangsawan sudah tinggal dalam sejarah kerana filem bertemakan raja dan istana sudah lama tidak diterbitkan.

“Hari ini fantasi yang digambarkan dalam hikayat lama, sudah tidak lagi memiliki nilai pasaran. Anak-anak pada era ini mempunyai daya fikir yang lebih kritikal, memiliki fantasi yang jauh lebih kompleks, lebih sofistikated,” titah baginda.

Mengambil contoh kisah Puteri Gunung Ledang yang difilemkan pada 2004, Sultan Nazrin bertitah skrip lama apabila diolah dan disuntik dengan dimensi baharu dan dipersembahkan dengan teknik terkini tetap mendapat sambutan generasi semasa.

“Terbukti, cerita lama tidak semestinya tidak bernilai dan tidak semestinya tidak dihargai lagi. Jika ada kebijaksanaan untuk disuntik dimensi baharu dan dipersembahkan dengan teknik baharu yang lebih saintifik, dengan plot cerita yang mengolah romantik baharu, cerita lama akan terus mendapat tarikan,” titah Sultan Perak. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast