Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak wajar campur tangan dalam isu tindakan Wong Yan Kee yang protes di pentas konvokesyen Universiti Malaya baru-baru ini.

Sepatutnya, ahli-ahli politik ini membiarkan polis mengambil tindakan terhadap tindakan kurang ajar dan biadap Yan Kee.

Ini kerana, penglibatan ahli politik Pakatan Harapan (PH) dalam isu ini adalah tidak masuk akal dan dilihat tidak menghormati keputusan universiti, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.

“Lim Kit Siang adalah ahli politik DAP yang gemar campur tangan dalam apa-apa jua isu terkini seperti kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan kini dalam kes protes graduan UM untuk menaikkan populariti beliau,” katanya mendakwa Yan Kee sebenarnya adalah boneka kepada DAP.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu meminta UM menarik balik laporan polis dan berhenti menyasarkan graduan itu.

Katanya, Naib Canselor UM, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim juga hendaklah memastikan UM tidak mengambil tindakan keras kerana ia hanya akan memberi gambaran buruk kepada universiti.

Sedangkan, katanya, perjuangan Yan Kee adalah sia-sia kerana mahasiswa pada hari ini ditipu dan dikhianati kerajaan PH kerana tiada langsung pembelaan terhadap para pelajar terutamanya dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan MyBrain15.

Malah, tindakan Yan Kee yang mengeluar dan menayangkan plakad tertera perkataan, ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik menerima skrol ijazahnya ketika berada di atas pentas pada sidang konvokesyen itu mencemar nama baik UM dan menghina majlis konvokesyen.

Sebaliknya, kata Najmil, Yan Kee seharusnya menjadi contoh kepada para graduan lain bukannya bersikap radikal dan rasis.

“Jika dibiarkan budaya ini akan merebak dan merosakkan adab para mahasiswa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast