AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) telah diwujudkan pada 22 Jun 2012 oleh kerajaan terdahulu bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang dimansuhkan pada 15 September 2011.

Dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pula disebut hanya akan mengkaji semula akta itu untuk penambahbaikan iaitu, meneliti mana-mana bab atau fasal dalam SOSMA yang boleh kita perbaiki.

Hal ini jelas kerana akta ini tidak tersenarai sebagai
akta zalim dan undang-undang drakonian yang perlu dimansuhkan.

Justeru desakan sesetengah pihak yang mahu akta ini dimansuhkan kononnya atas dasar hak asasi kemanusiaan tidak perlu dilayan oleh pihak kerajaan. Ringkasnya kerajaan tidak terikat dengan sebarang janji dan keperluan untuk memansuhkan akta ini.

Dalam konteks ini kita menyokong penuh jika akta ini disemak secara terperinci bagi melihat mana-mana kandungan yang boleh diperbaiki agar pelaksanaan dan penguatkuasaannya tidak dilihat sebagai tindakan zalim, mencabuli hak asasi serta dijadikan sebagai alat politik untuk menghukum musuh politik.

Secara prinsipnya setelah ISA dimansuhkan, undang-undang seperti SOSMA patut wujud dalam sesebuah negara bagi mengekang kegiatan pengganas dan jenayah berat. Ianya menjadi benteng penting untuk melindungi keselamatan negara dan rakyat.

Pihak polis perlu diberi ruang dan peluang untuk menggunakan akta ini dalam melaksanakan tugas mereka dengan segera dan efisien agar segala aktiviti keganasan dan jenayah berat dapat disiasat dan diambil tindakan tanpa sebarang karenah birokrasi yang boleh menjejaskan soal keselamatan negara.

Penulis percaya antara kerisauan pihak yang tidak bersetuju dengan SOSMA ialah khuatir ianya dijadikan alat politik untuk menghukum dan mengekang musuh politik.

Tapi kita harus sedar dalam era Malaysia Baharu ini ruang untuk salah laku dan salah guna kuasa seperti itu boleh dikatakan hampir tidak ada.

Di samping ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan dalam menguatkuasakan sesuatu undang-undang, proses semak dan imbang dalam kalangan anggota kerajaan serta masyarakat juga sentiasa berlaku dan diberi perhatian serius.

Lantaran itu, kita perlu elak sebarang bentuk hipotesis dan persepsi negatif.

Saya berharap akta ini akan terus dipertahankan sebagai platform terbaik untuk menangani aktiviti keganasan dan jenayah berat seterusnya melindungi rakyat dan negara serta memelihara keselamatan dan ketenteraman secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette

 

 Noor Mohamad Bin Shakil Hameed

Penulis ialah Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia [email protected]

 

1 Komen

Comments are closed.