Mohd Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR – Biro Pendidikan Armada Nasional berdiri teguh dengan tindakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik melarang pengedaran buku komik ‘Inisiatif Jalur dan Laluan BRI’ di sekolah.

Exconya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, biro itu juga senada dengan kenyataan Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah dan kelantangan Ketua mereka, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan Hew Kuan Yau adalah ‘Super Stupid Superman’.

Beliau memberi amaran kepada 43 pemimpin DAP yang membantah keputusan Kementerian Pendidikan itu agar celiik mata bahawa perkara itu tidak pernah diputuskan dan tidak ada sebarang pekeliling.

Semestinya, kata Mohd Ashraf Mustaqim, tidak ada masalah untuk Dr. Maszlee mengarahkan agar edaran komik tersebut ditarik kembali setelah ada usaha mengedarkannya secara haram.

“Apabila dipersoalkan sama ada menteri dilantik Pakatan Harapan (PH) atau UMNO, persoalan itu seharusnya tidak timbul kerana ini bukan tertakluk perihal politik.

“Ini soal praktik ‘good governance’ yang dipelihara undang-undang sepertimana termaktub dalam Akta Pendidikan 1996; Akta 550 yang menjelaskan pada definisi Sekolah Kerajaan (termasuk SJKC dan SJKT) iaitu “sekolah kerajaan” atau “institusi pendidikan kerajaan” ertinya sekolah atau institusi pendidikan yang ditubuhkan dan disenggarakan sepenuhnya oleh Menteri di bawah ’Bahagian IV’ (bererti sepenuh kuasa atas sistem pendidikan kebangsaan adalah di bawah kuasa menteri).

“Sekatan ini bertepatan ditambah lagi komik tersebut tidak pernah lulus untuk menepati syarat bahan pendidikan selaku silibus sebagai materi rujukan kepada pelajar,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, apa yang dicoretkan dalam komik ‘Superman Bodoh’ itu langsung tidak melalui proses pengabsahan secara ilmiah dari sudut sejarah dan kajian sosial.

Ianya, kata Mohd Ashraf Mustaqim, tambah tidak menyenangkan apabila kelihatan jelas DAP mempunyai agenda memahat iltizam ‘Jalur Merah’ dari China melalui faham politik.

“Lebih menjijikkan apabila komik tersebut mengherdik emosi umat Islam di Malaysia ke atas saudaranya dari etnik Uighurs yang ditindas atas kezaliman rejim Komunis China.

“Nyata sekali langkah Kuan Yau ini mencerminkan nilai rasisme dan bertentangan dengan tekad Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Bukan itu sahaja, warga pendidik dari seluruh pelusuk tanah air turut mengecam edaran komik ini, semestinya tanggungjawab Menteri Pendidikan mengekang penularan buku itu yang penuh dengan niat jahat dan tidak ilmiah,” katanya.

Menurut beliau lagi, berdasarkan ketetapan undang-undang, ditambah gesaan warga pendidik itu sendiri, Dr. Maszlee jelas bertindak atas lunas yang betul dengan menekankan aspek ‘Good Governance’ demi menjaga lestari dan keharmonian nilai dalam pendidikan.

Dr. Maszlee katanya, tidak perlu berganjak dan Armada PPBM bersama serta senada dengan tindakan menteri itu menerusi Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

“Ini bukan soal PH, apatah lagi memenuhi serakah DAP, namun sebahagian pimpinan DAP yang menyokong ‘Superman Bodoh’ ini perlu bertanya apakah jati perjuangan mereka?

“Adakah berpegang teguh atas nilai Malaysia itu sendiri dengan jujur atau kiblat mereka adalah bersama Parti Komunis China (CCP)?

“Jika benar tekad bersama PH yang berjanji menjulang Perlembagaan Persekutuan, sebilangan pimpinan DAP perlu menjaga rukun kebersamaan dan kepatuhan nilai atas teras dan semangat Malaysia yang tidak bercanggah dengan perlembagaan pusaka tercinta kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast