KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menulis kata-kata aluan dalam komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI)’ juga harus disiasat dan diambil keterangan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penglibatan Menteri Kewangan itu dianggap bersubahat dengan penulis, Hew Kuan Yau dan pelukis karikatur komik berkenaan, Chong Po Ling.
“Apabila yang menulis kata-kata aluan adalah Setiausaha Agung, ini menunjukkan komik itu mendapat dukungan penuh DAP. Tambahan pula dengan kedudukan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang menjadikan komik ini lebih perlu dipandang berat.
“Oleh itu, saya tidak dapat menerima penafian Ketua Sayap Sosialis Muda DAP Kebangsaan, Howard Lee bahawa DAP dan DAPSY sama sekali tidak ada kaitan dengan penerbitan komik ini serta isi kandungannya tidak mencerminkan pendirian parti itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Terdahulu, beliau mengucapkan syabas kepada Lajnah Penerangan dan Media Baru Pas Pusat yang membuat laporan polis ke atas penerbitan dan pengedaran komik berkenaan di Balai Polis Dang Wangi dan di seluruh negara hari ini.
Ujar beliau, penerbitan dan pengedaran komik itu perlu dipandang serius kerana kandungannya boleh “menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan”.
Ini katanya, selaras dengan Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari lima tahun.
Dr. Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, bagaimana DAP boleh menyatakan tidak sama sekali ada kaitan dengan penerbitan serta isi kandungannya tidak mencerminkan pendirian parti kalau penulis kata-kata aluan komik itu adalah Setiausaha Agung DAP?
“Bagaimana DAPSY boleh dikatakan tidak sama sekali ada kaitan dengan penerbitan komik ini serta isi kandungan komik ini tidak mencerminkan pendirian DAPSY bila majoriti pemimpin tertinggi DAPSY mempertahankan pengedaran dan isi kandungan komik ini?
“Saya juga menggesa 43 pemimpin DAP yang mendesak polis supaya tidak melakukan siasatan ke atas Hew Kuan Yau selaku penulis isi komik ini turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” kata beliau.
Katanya, mengikut seksyen itu, barang siapa dengan sengaja menggalang mana-mana penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda yang boleh sampai sepuluh ribu ringgit, atau dengan kedua-duanya.
“Ini bagi memberi mesej jelas kepada DAP dan mana-mana pihak lain supaya jangan sesekali cuba menekan dan mencampuri urusan polis,” katanya.
Beliau juga menggesa Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak tegas menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. – MalaysiaGazette