Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Malaysia menduduki tangga ke-12 dalam kalangan 190 negara seluruh dunia mengikut Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020, naik tiga anak tangga berbanding 15 sebelum ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, ranking lebih baik itu disebabkan oleh kerjasama dan komitmen ahli-ahli sektor swasta dan kerajaan yang berada dalam kumpulan-kumpulan kerja teknikal di bawah Pasukan Petugas Khas Pemudahcara (Pemudah) yang menambah baik persekitaran menjalankan perniagaan.

“Ini disokong oleh kepimpinan kukuh daripada PEMUDAH dan sumbangan nasihat daripada Kumpulan Bank Dunia.

“Malaysia Productivity Corporation (MPC) selaku Sekretariat Pemudah bekerjasama rapat dengan kumpulan-kumpulan kerja teknikal untuk memulakan dan memantau pelaksanaan pelbagai inisiatif yang diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Darell, prestasi lebih baik yang dicatatkan Malaysia kali ini menjadi ujian terhadap proses reformasi yang sedang berjalan ketika ini.

Reformasi tersebut melibatkan peningkatan daya saing, produktiviti dan urus tadbir untuk memudahkan menjalankan perniagaan, di samping mempromosikan pelaburan yang turut mempercepatkan pembangunan ekonomi dan kemakmuran negara. – MalaysiaGazette