KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung sebak apabila ibu kandung beliau akhirnya menerima hidayah daripada Allah.
Selepas 14 tahun beliau memeluk Islam, hari ini tiba giliran ibunya pula mengucap kalimah syahadah.
Menurutnya, meskipun ini bukan syahadah kali pertama dikendalikannya tetapi syahadah yang paling mencemaskan buat beliau.
Ini kerana, Firdaus sendiri yang mengIslamkan ibunya.
“Ini bukan syahadah pertama yang saya kendalikan tetapi ini adalah syahadah yang saya paling nervous dan sebak kerana yang mengucap syahadah adalah ibu saya sendiri. Alhamdulilah. Saya tidak dapat menahan airmata saya seusai ibu saya mengucapkan dua kalimah syahadah dan memeluknya,” katanya yang berkongsi saat-saat indah itu di Facebook.
Sambil mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah, Firdaus berharap selepas ini ayah, kakak, abang, anak saudara, keluarga mertua saya juga dikurniakan hidayah oleh Allah.
“Jazakumullahu Khairan kepada sahabat yang sering menyokong dan mendoakan kami. Teruskan sokongan dan doa anda. Berharap selepas ini ayah, kakak, abang, anak saudara, keluarga mertua saya juga dikurniakan hidayah oleh Allah Subhana Wa Ta’ala. Allahuma Ameen,” katanya. – MalaysiaGazette