Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Karnival Deepavali 2019 di perkarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK. foto SYAFIQ AMBAK, 25 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua suspek yang ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) baru-baru ini segera dihadapkan ke mahkamah untuk diadili mengikut proses undang-undang yang sepatutnya.

Jika polis tidak ada bukti mengaitkan mereka dengan gerakan pengganas tersebut, maka Presiden PKR itu berharap kesemuanya dilepaskan sebelum sambutan Deepavali, Ahad ini.

Namun begitu, beliau tidak mahu pendirian peribadinya ini dilihat sebagai usaha menghalang tugas polis.

Sebaliknya dalam masa yang sama, Anwar sentiasa menyokong peranan pihak berkuasa itu dalam mengawal jenayah dalam negara.

“Kita semua berharap berdoa, saya harap beberapa daripada mereka boleh dilepaskan sebelum Deepavali… Tetapi saya bimbang kalau-kalau pandangan kita ini mempertikai tindakan polis, saya fikir tidak wajar kerana kita faham pihak polis dalam menjalankan tugas mereka mesti diberi sokongan untuk mengawal jenayah dan kegiatan yang dianggap anasir yang boleh mencetuskan huru-hara.

“Cuma segerakan tindakan, segerakan untuk hadapkan mereka di mahkamah,” katanya semasa berucap sebagai jemputan di Karnival Deepavali di tapak parking Stadium Nasional.

Anwar turut menyuarakan hasrat agar kerajaan mengkaji semula beberapa peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang pada pendiriannya tidak sesuai untuk diamalkan dalam negara.

“Tetapi sikap kita terutama dalam Pakatan Harapan dan saya dari PKR memang mempertikai beberapa peruntukan dalam undang-undang SOSMA kerana undang-undang itu menyekat beberapa peraturan yang dianggap tidak sesuai bagi sebuah negara merdeka, berdaulat dan matang…Cuba sebagai kerajaan mengkaji semula beberapa peruntukan SOSMA yang kami tafsirkan sebagai kurang wajar,” tambahnya.

Anwar sebelum ini menolak cadangan Dewan Rakyat membentangkan usul kertas putih terhadap isu penahanan 12 individu termasuk dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP berkaitan kes LTTE.

Jelasnya, ini kerana rakyat mahupun kerajaan perlu memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan tanpa gangguan sesiapa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador kemudiannya berkata, polis akan memastikan memberikan hak kepada 12 yang ditahan,

Selain itu, ahli keluarga turut dibenarkan untuk melawat menjelang perayaan Deepavali.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast