KUALA LUMPUR – Tinggal hanya beberapa jam sebelum sambutan Deepavali, Little India di Brickfields di sini terus menjadi tumpuan warga kota yang beragama Hindu sejak awal pagi untuk mencari kelengkapan saat akhir menyambut perayaan tersebut.
Apa yang menarik, di samping membeli baju baharu, kelengkapan sembahyang, bunga segar dan manisan, gerai melukis inai dan kedai memotong rambut juga tidak ketinggalan menjadi tumpuan orang ramai.
Tinjauan Bernama mendapati tidak kurang 10 gerai kecil yang menyediakan perkhidmatan melukis inai di sekitar Litte India menjadi tumpuan pelanggan, terutama remaja wanita yang tidak kisah menunggu lama untuk mendapatkan hiasan pelbagai corak berwarna merah dan hitam pada tangan mereka.
“Memakai inai ini satu tradisi bagi kami. Macam tak lengkap apabila pakai sari dan gelang di pagi Deepavali nanti tapi tangan kosong, tak ada hiasan inai. Sebab itu kami pakai inai agar nampak cantik dan lengkap,” ujar V. Neeta, 24 tahun.
Jelas gadis yang bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota, dia akan mengenakan inai sehari sebelum Deepavali bagi memastikan warna hiasan tangan itu kekal dan terang.
“Lagi mudah untuk datang ke sini (Little India) sebab banyak penjual yang menawarkan perkhidmatan melukis inai. Lagipun harga berpatutan di samping terdapat banyak pilihan corak dan warna,” katanya.
Sementara itu, bagi pelukis inai, M. Kasthuri 25, berkata suasana orang ramai beratur untuk memakai inai pada saat-saat akhir adalah pemandangan biasa di Little India sejak dahulu lagi.
“Memang ramai sebab pelanggan nak kekalkan warna inai itu agar lebih terang pada pagi Deepavali. Tempoh masa untuk melukis inai pada sepasang tangan pula, tidak mengambil masa yang lama, sekitar 15-30 minit. Namun ia bergantung kepada corak yang dipilih pelanggan. Jika rumit, lebih lama masa yang akan diambil sebab melukis inai ini memerlukan ketelitian.
“Mengenai corak, rata-rata pelanggan akan memilih corak berunsur tradisional kerana mahu disesuaikan dengan pemakaian sari nanti. Harga pula bermula dari RM10,” katanya.
Bagi golongan lelaki, gaya rambut terbaru serta kekemasan jambang menjadi kemestian mereka dalam menyambut Pesta Cahaya esok.
Menurut N. Collin, 40, beliau tidak kisah menunggu lama untuk menggunting rambut serta mengemaskan jambang di kedai di sekitar Little India kerana perkhidmatan di kawasan tersebut memenuhi seleranya.
“Walaupun saya tinggal di Ampang, saya tetap mengunjungi kedai di sini hampir setiap tahun, terutama sehari sebelum Deepavali. Memang terpaksa tunggu lama, antara 30 minit hingga sejam tetapi saya suka dengan suasana ceria ini,” katanya.
Bagi M. Vijay, 28, dia sengaja menunggu sehingga saat akhir untuk bergaya dengan fesyen rambut terkini kerana ingin memberi kejutan kepada ahli keluarga yang lain ketika menyambut Deepavali.
“Saya dan sepupu yang lain akan cuba merahsiakan fesyen rambut yang akan digayakan pada Deepavali dan ini dilakukan sejak kami kecil. Ia macam satu keseronokan apabila masing-masing teruja untuk tahu gaya rambut dan jambang dan sebab itu, saban tahun, saya akan tunggu hingga saat akhir, selalunya sehari sebelum Deepavali,” katanya.- BERNAMA