Komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” yang diharamkan KDN.

KECOH  seluruh negara apabila kita dikejutkan dengan laporan pengedaran komik
propaganda politik bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang
didakwa diedar ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis
Kebangsaan (SJK). Pelbagai lapisan masyarakat menzahirkan kebimbangan dengan kandungan komik tersebut yang dikhuatiri boleh menjejaskan pemikiran anak-anak di sekolah.

Dan ternyata segala kerisauan awam tentang kandungan komik ini terbukti
benar apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan
terhadap komik ini atas alasan terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan
ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai. Antara lain ianya cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Terima kasih KDN atas tindakan segera ini dan bayangkan jika komik ini terus diedarkan apa akan jadi kepada masa depan anak-anak yang akan
membesar dengan pemahaman yang salah dan terpesong.

Ironinya pihak Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pengedaran komik ini
tidak pernah mendapat kelulusan KPM, lantaran timbul persoalan bagaimana pihak
luar dengan sewenang-wenangnya mengedarkan bahan bacaan seperti ini tanpa
sebarang sekatan dan kawalan. Kita harap pihak KPM akan menyiasat secara
mendalam bagaimana perkara ini boleh berlaku.

Apapun suatu perkara yang sangat jelas ialah, betapa pengedaran komik ini tanpa
sebarang rujukan dan kelulusan dari pihak berkuasa menunjukkan ianya mempunyai agenda yang tersembunyi. Senario ini menunjukkan sekolah mula menjadi tumpuan dan medan untuk aktiviti penyebaran propaganda oleh pelbagai pihak yang mempunyai agenda peribadi.

Ini sudah semestinya bukanlah suatu persekitaran yang sihat yang ingin kita subur dan budayakan. Harus diingat ini bukan kali pertama sekolah menjadi sasaran golongan seperti ini kerana sudah beberapa kali sebelum ini kita didedahkan sekolah dijadikan medan serta terdapat cubaan untuk penyebaran
fitnah, ideologi politik, propaganda perkauman, dan tanam rasa benci dalam
kalangan pelajar sekolah.

Secara logiknya boleh dikatakan kelompok ini bijak memilih kumpulan sasaran untuk menyebarkan propaganda mereka. Hal ini kerana pelajar sekolah yang belum matang sepenuhnya akan mudah termakan segala jenis propaganda dan pujuk rayu asalkan kena caranya. Akhirnya anak-anak ini yang semakin meningkat dewasa akan terbawa-bawa dengan ajaran dan ideologi yang disebarkan itu sehingga boleh mengganggu-gugat perpaduan negara, keharmonian kaum serta kekuatan sistem politik dan kerajaan kita.

Jadi semua pihak perlu memandang serius perkara ini kerana kita tidak mahu minda dan pemikiran anak muda negara ini terus diracuni dengan pelbagai virus dan wabak yang tidak sihat serta sukar diubati. Dalam konteks ini kita berharap KPM dan agensi penguatkuasa yang berkaitan dapat bekerjasama untuk membendung dan melindungi “pencerobohan pemikiran” seperti ini terhadap sekolah dan pelajar.

Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang mulia dan bebas dari segala macam
propaganda yang tidak betul dan tidak memberi manfaat kepada masa depan pelajar dan juga negara secara keseluruhannya. Sekolah perlu kekal selamanya sebagai platform untuk menyebar dan menyuburkan ilmu pengetahuan serta melahirkan generasi celik huruf dan cerdik pandai yang bakal mewarisi negara ini.

Dalam konteks negara dan masyarakat majmuk pula, besarlah harapan kita agar
sekolah akan menjadi agen dan alat perpaduan utama yang menyatupadukan rakyat berbilang agama dan bangsa. Umpama melentur buluh biar dari rebungnya, pelajar sekolah perlu dididik untuk memahami dan menghormati agama, bangsa dan budaya kaum lain sekaligus menjadi warga yang beradab, sopan santun dan berakhlak mulia.

Jadi penulis ingin memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dan menjadikan sekolah sebagai alat untuk sebar propaganda mereka, hentikanlah segera niat dan tindakan terkutuk anda. Rakyat tidak akan berkompromi dalam soal ini kerana tindakan kalian akan merosakkan pemikiran dan menghancurkan masa depan generasi akan datang.

Juga jangan sesekali cuba untuk menjentik dan mengusik perpaduan kaum yang sudah terjalin selama ini. Kalau terlalu kemaruk, terdesak dan taasub sekalipun untuk menyebarkan sesuatu propaganda, sekolah bukan tempatnya. Ringkasnya, jangan mencemar kesucian sekolah dengan ideologi songsang dan serta peribadi masing-masing.

Semoga kejadian terbaru ini membuka mata semua pihak betapa sekolah sentiasa
terdedah kepada perkara seperti ini. Diharap KPM dapat menyemak semula prosedur standard operasi (SOP) yang berkaitan agar dapat menghalang pihak luar dari menceroboh sekolah secara langsung seperti ini. Dalam pada itu, pentadbir sekolah juga perlu lebih berhati-hati dan bijak menangani ancaman anasir luar yang sentiasa menunggu peluang untuk memanipulasikan pelajar sekolah. – MalaysiaGazette

Noor Mohamad Bin Shakil Hameed

 

Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategik Korporat dan Komunikasi, UPM, [email protected].

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast