Salah seorang dari 12 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berjalan keluar selepas dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 29 OKTOBER 2019

SEPANG – Seorang guru sekolah hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen di sini selepas dipercayai terbabit dengan aktiviti kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Saiful Akmal Mohd Said mengikut Seksyen 130JB (1)(A) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Sundram Renggan@Regasamy, 52, pada 12 Oktober 2019, jam 2.30 petang di No. 21, Jalan 6, Taman Telok, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor telah memiliki item-item yang berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Terdahulu, peguam Krithi Raj Raja Sundram memohon mahkamah agar membenarkan anak guamnya diberikan jaminan hari ini.

Menurut Krithi Raj, anak guamnya mempunyai masalah kesihatan iaitu menghidap penyakit kencing manis dan mempunyai beberapa temujanji dengan doktor yang merawatnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi membantah permohonan itu kerana kesalahan Seksyen 130JB (1)(A) Kanun Keseksaan tidak membenarkan jaminan dilakukan.

Hakim Saiful Akmal menolak permohonan Krithi Raj kerana kes tersebut melibatkan ancaman keselamatan.

Saiful Akmal juga memutuskan 16 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes terbabit.

Sebelum ini, Sundram, seorang guru fizik dan Bahasa Inggeris ditahan di rumahnya di Taman Telok, Telok Panglima Garang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Jika disabitkan dengan kesalahan, Sundram boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi 7 tahun atau denda.

Selain itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula akan mengenakan pertuduhan terhadap Sundram pada 31 November ini berkaitan dengan kenyataan yang berkaitan dengan LTTE di Facebook miliknya, sebelum ini.

Selain itu, turut didakwa serentak hari ini ialah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Saminathan Ganesan (Gadek) dan Gunasekaran Palasamy (Seremban Jaya) di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay sudah menyerahkan kertas siasatan berkenaan suspek disyaki terlibat dengan kumpulan LTTE di bawah Sosma kepada Peguam Negara.

Pada 10 Oktober lalu, dua ADUN, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan mengikuti Sosma selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dua hari kemudian, polis menahan lima lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang diklasifikasikan sebagai pengganas di Malaysia bermula pada 2014.

Organisasi militan diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran itu juga turut tersenarai sebagai pengganas di Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.

Semua yang ditahan dikesan bukan saja mempromosi, menyokong, menghasut dan menggalak orang ramai, malah turut mencari dana untuk kumpulan pengganas terbabit. – MalaysiaGazette