KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak dilihat mengelengkan kepalanya mendengar kenyataan Datuk Shahrol Azral Ibrahim dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.
Ketika saksi kesembilan itu mendakwa bekas perdana menteri itu telah menasihatkan lembaga pengarah tidak membuat penilaian kali kedua aset Petrosaudi Holdings (Cayman) Ltd di Turkmenistan dan Argentina.
Shahrol yang juga bekas Ketua Eksekutif 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau pernah menemui Najib pada 16 Oktober 2009 untuk mendapatkan nasihat mewakili lembaga pengarah ekoran wujud kegusaran tentang nilai aset Petrosaudi (Cayman) yang dinilai oleh firma Edward Morse.
Najib dalam kandang kemudiannya kelihatan menggelengkan kepalanya.
Ketika ditanya peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang Najib tidak pernah memberi nasihat seperti didakwa, Shahrol berkata;”Saya tidak bersetuju, itu bukan apa yang saya fikirkan.”
Shahrol berkata demikian selepas memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa ahli lembaga pengarah 1MDB kurang keyakinan dalam penilaian aset (AS$2.2 bilion) berkaitan dengan usahasama Petrosaudi International.
Beliau mendedahkannya selepas dirujuk minit mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 3 Oktober 2009 iaitu selepas perjanjian usahasama 1MDB dengan Petrosaudi.
Sebelum ini Shahrol berkata, kerjasama pelaburan antara syarikat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan nilai AS$2.5 bilion.
Melalui kerjasama itu, 1MDB menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion sebagai modal permulaan yang dibayar secara tunai.
Syarikat PSI pula melabur menerusi aset bernilai AS$2 bilion dengan PSI dan 1MDB bersetuju memberikan diskaun pada nilai AS$1.5 billion.
Shahrol dalam keterangannya berkata, diskaun itu bagi membolehkan 1MDB mendapat pegangan saham 40 peratus dalam projek usahasama terbabit.-MalaysiaGazette