BARCELONA – Cristiano Ronaldo percaya persaingan sihat antara dirinya dan penyerang Barcelona, Lionel Messi ketika beraksi dalam kempen La Liga Sepanyol menjadikannya beliau lebih baik.
Kedua-dua pemain pernah memenangi Anugerah Ballon d’Or lima kali dan diiktiraf antara pemain terbaik dunia.
Bekas bintang Manchester United itu menjawab pelbagai pandangan dengan memberitahu France Football ramai yang mendakwa mereka saling bersaing ketika berada di Sepanyol hingga membuatkan mereka menjadi lebih baik.
“Ia sememangnya benar. Saya dapat rasakan kehadirannya di Madrid berbanding di Manchester. Ia adalah persaingan sihat. Kami adalah simbol kepada kelab kami.
“Ini sesuatu yang bagus apabila berpeluang bercakap mengenainya. Ia lebih menarik jika mereka kata saya sudah menjadi yang terbaik, pemain yang hebat,” katanya.
Ronaldo sangat dikenali dengan dedikasi ketika latihan dan usaha keras di luar padang membantunya menjadi antara salah seorang penyerang terbaik dunia.
Ditanya mengenai jaringan terbaiknya, pemain berusia 34 tahun itu membayangkan sepakan gunting yang dilakukan ketika Madrid menang dalam saingan suku akhir Liga Juara-Juara berdepan pasukannya sekarang, Juventus pada 2017-18. – MalaysiaGazette