Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub. foto AFFAN FAUZI, 01 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan, beliau tidak perlu mendengar “cakap-cakap” pihak tertentu berhubung tindakkannya menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan ketika Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai sedang berlangsung ketika ini.

Menteri Pertanian dan Indsutri Asas Tani itu berkata, perkara tersebut sememangnya telah lama dilakukan sejak beliau menjadi menteri dan bantuan yang dihulur merupakan sumbangan yang perlu segera diberi kepada individu-individu yang ditimpa musibah.

Tambahan pula, beliau merupakan anak jati di kawasan Parlimen berkenaan dan setiap kali pulang ke kampung halamannya ada saja rakyat di kawasan itu akan bertemu dengannya untuk meminta bantuan dan perlu ditunaikan secepat mungkin, katanya.

“No, saya tidak akan teruja dengan hujah seperti itu. Pada bila-bila masa kita akan beri bantuan.

“Saya tak perlu dengar cakap orang lain, ini kerajaan yang bertanggungjawab secepat mungkin, kita akan beri bantuan kepada sesiapa pun yang ditimpa musibah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Makan Perpaduan “Makanan Menyatukan Kita” di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dua program yang dihadirinya hari ini apabila menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran dan program makan-makan tersebut.

Dalam program pertama yang dihadirinya Salahuddin memberikan bantuan kepada seorang nelayan di Parlimen berkenaan yang ditimpa musibah apabila kediamannya musnah dalam satu kebakaran pada minggu lalu.

Pada program itu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberikan sumbangan sebanyak RM58,000 kepada mangsa yang disampaikan oleh Salehuddin.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyaataan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya yang menyifatkan undi kepada calon MCA dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, sama seperti membeli barangan Melayu-Islam yang dijual oleh jurujual Cina, Salahuddin berkata, Pas merupakan parti yang berpusing-pusing dan suka bermain isu agama dan kaum.

Katanya, Pas adalah parti yang menggunakan banyak kitab dan akan menggunakan kitab tertentu untuk menyokong hujah mereka mengikut kesukaan.

“Saya tak minat nak ulas jadi ia (Pas) parti yang tak pernah ada pendirian, parti yang banyak kitab, kalau dia suka hujah itu dia bukak kitab yang lain kalau dia rasa hujah yang macam ini dia buka kitab yang lain.

“Parti yang tidak pernah konsisten yang tidak pernah ada prinsip yang lestari dengan politik Malaysia yang ada pada hari ini. Biarlah dia dengan politik yang berpusing-pusing begitu,” ujarnya.

Barisan Nasional (BN) mengumumkan ketua Bahagian MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng yang pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan itu dua penggal sejak 2008 sehingga tewas pada pilihan raya umum yang lalu untuk kembali pertanding pada 16 November nanti.

Pakatan Harapan pula mempertaruhkan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66 sebagai calon mereka.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Itu namanya sumbangan biasa bila ada pilihanraya. Sama ada PRU atau PRK. Kalau tak ada pilihanraya maka tidak adalah sumbangan kena tunggu 5 tahu.

Comments are closed.